Program Penempatan Pekerjaan AZAM Kerja di Belaga, 9 Mei

0

KUCHING: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak melalui Pejabat Tenaga Kerja Bakun akan menganjurkan Program Penempatan Pekerjaan AZAM Kerja pada 9 Mei ini di Dewan Serba Guna Sungai Asap, Belaga mulai jam 9.30 pagi hingga 3.00 petang.

Antara aktiviti yang bakal dijalankan adalah temu duga terbuka oleh majikan, pendaftaran JobsMalaysia, kaunseling kerjaya, khidmat nasihat perburuhan, semakan status e-Kasih dan pameran serta jualan produk daripada peserta AZAM Kerja.

Seramai lapan majikan mengambil bahagian dan menawarkan jawatan kosong dalam pelbagai jawatan iaitu jawatan pengurusan, profesional, mahir, separuh mahir dan pekerja am kepada mereka yang hadir.

Senarai jawatan kosong juga boleh disemak di Pejabat Tenaga Kerja Bakun di Pusat Komersial Sungai Asap, Belaga.

Sehubungan itu, orang ramai dan penduduk tempatan terutama dari sekitar Sungai Asap, Belaga dan Tubau dijemput menghadiri program tersebut.

Para graduan dan belia lepasan sekolah yang belum mendapat pekerjaan juga dipelawa merebut peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan sempena program ini.

Mereka yang berminat menghadiri temu duga terbuka diminta berpakaian kemas dan bersesuaian, membawa sijil kelayakan akademik/kemahiran berserta salinan sijil berkenaan dan dokumen lain yang berkaitan jawatan yang dipohon.

Mereka yang berminat juga disaran membawa resume yang mencukupi, gambar berukuran pasport serta pen.

Untuk keterangan lanjut, sila berhubung dengan Sam Faddy atau Rodizan di Unit Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Tenaga Kerja Bakun di talian 019-8595286.