‘Go Bald 2015’ jana kutipan sebanyak RM309,629.80

0

BERJAYA: Antara yang menyertai acara ‘Go Bald 2015’.

KUCHING: ‘Go Bald 2015’ menjana kutipan sebanyak RM309,629.80 dengan sejumlah 472 kepala telah dibotakkan di Cityone Megamall, Ahad lepas.

Bagaimanapun penganjur berjaya menambah jumlah itu kepada RM384,191.10 apabila Satelit Cukur Sri Aman menyumbang RM62,561.30 dan Rotaract Club Swinburne RM12,000.

Datuk Seri Fadillah Yusof antara 12 orang menyertai kempen itu berjaya mengumpul RM100,000 daripada orang ramai yang mengambil berat ‘Go Bald 2015’.

Selain itu, Presiden Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) Rodney Wong, DJ Era.fm Afick, DJ My.fm Addy, seorang pesakit kanser, ibu bapa pesakit, mangsa yang terselamat kanser dan juga salah seorang sukarelawan dari SCCS turut serta.

Ia pertama kali diadakan di Sibu dan pada 10 Mei diadakan di Delta Miri, 17 Mei di Permaisuri Imperial City Mall dan Bintulu pada 24 Mei di Parkcity Everly Hotel.

Sekurang-kurangnya tiga slot cukuran akan diadakan di sini dan yang seterusnya akan dijalankan di Sekolah St Joseph pada 29 Mei ini.

Pertama kali dilancarkan pada 2009, ‘Go Bald’ adalah acara amal membotakkan kepala yang terbesar dan pertama di Sarawak.

Acara mengumpul dana untuk ‘Go Bald’ merupakan satu tindakan oleh orang ramai untuk menunjukkan sokongan kepada kanak-kanak yang sedang bertarung dengan kanser.

Tahun ini, SCCS bercadang menyasarkan kutipan RM1.5 juta untuk pembinaan rumah transit baharu di Miri, bagi menampung kos operasi mereka dan tumpuan lebih kepada meningkatkan khidmat sokongan mereka dalam setiap aspek.

Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Go Bald’, sila hubungi Afreeda Nawawi di talian 013 833 8667 atau e-mel kepada [email protected].

Periksa laman web mereka di www.gobald.my dan kunjungi laman Facebook www.facebook.com/GoBald.