KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu segera mengembalikan buku ‘Money Logging: On the Trail of the Asian Timber Mafia’ yang dirampas dan memohon maaf kepada Gerak Budaya berhubung perkara itu.
Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How berkata ia agak memalukan terutama pada masa ini apabila Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sedang berada di Eropah untuk bercakap mengenai pembalakan dan pemeliharaan sumber hutan negeri.
“Beliau dijadual mengadakan dialog terbuka esok (hari ini) dengan semua NGO di London… jadi, saya fikir rampasan buku ini akan menjadi agak memalukan untuk beliau apabila mereka menyoalnya berhubung perkara itu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini semalam bagi mengulas laporan berhubung rampasan buku ‘Money Logging: On the Trail of the Asian Timber Mafia’ oleh pegawai KDN di Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, See turut menganggap rampasan buku oleh KDN itu sebagai lapuk dan salah.
Menurutnya, pegawai kementerian berkenaan seolah-olah telah membuat kesilapan dalam merampas buku tersebut kerana tiada siapa tahu ia telah diharamkan.
“Tiada pengumuman dibuat oleh KDN,” katanya.
Penyelaras bagi penerbit GerakBudaya Ng Yap Hwa berkata sejumlah 30 buku telah diambil oleh pegawai-pegawai KDN atas alasan untuk menyiasat jika mereka melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
“Kami sebenarnya telah memberitahu forum antarabangsa bahawa kami ada sesuatu yang hendak disembunyikan berkaitan dengan dakwaan dan amalan pembalakan yang dibuat di dalam buku ini, yang saya fikir tidak baik,” katanya.