Kekalkan budaya berzikir, berzanji dan bermarhaban

0

Kekalkannya sebagai warisan turun-temurun untuk dinikmati golongan muda masa kini, kata Hasidah

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Budaya hiburan bersifat Islamik seperti berzikir, berzanji dan bermarhaban harus dikekalkan sebagai warisan turun temurun untuk dinikmati golongan muda masa kini.

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, meskipun era kini banyak dilimpahi teknologi serba moden, janganlah ia dijadikan alasan untuk menghilangkan budaya lama yang sudah menjadi tradisi masyarakat Islam di negeri ini, khasnya.

Malah katanya, seharusnya ia dipromosi dengan menggunakan teknologi sedia ada supaya ia dapat dikongsi secara menyeluruh tidak hanya bagi masyarakat di negara ini, bahkan juga untuk pengetahuan dan tontonan masyarakat luar.

“Umum tahu, masa kini setiap antara kita sudah semakin mahir menggunakan teknologi maklumat (IT) tidak kira kita warga muda mahupun tua.

“Justeru, tidak salah andai kita gunakan kemahiran itu, sebagai contoh dengan menggunakan laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instragram untuk mempromosi budaya hiburan Islamik (berzikir, berzanji dan bermarhaban) yang kita miliki dari zaman dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Pertandingan Zikir Berzanji Marhaban (Wanita) di Madrasah Datu Hakim Abang Haji Mohideen, Jalan Muda Hashim di sini, kelmarin.

Ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, golongan yang aktif mendalami seni berzikir dan bermahaban juga harus berfikiran lebih kreatif bagi memperkasa aspek lain seperti sudut penyampaian lagu, persembahan dan penampilan.

“Banyak lagi kaedah dan cara yang kita boleh gunakan untuk mengindahkan budaya keislaman kita dan besar harapan agar ia kekal menjadi budaya yang menarik dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.

“Pada masa sama, dengan adanya kreativiti untuk mengindahkan cara penyampaian hiburan bersifat Islamik, diharap agar budaya hiburan cara yang dibenarkan agama itu lebih mudah difahami dan diterima oleh semua golongan masyarakat,” jelasnya.

Program Pertandingan Zikir Berzanji Marhaban (Wanita) itu diadakan selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 Mei (semalam) dengan penyertaan 22 pasukan zikir marhaban dari seluruh bandar raya ini.