Mabuk sampai mati

0

Wanita ditemui mati dipercayai akibat terlebih minum minuman beralkohol

Oleh Watt Zacchaeus //

AKIBAT MABUK: Mangsa dijumpai terbaring dalam keadaan tidak bernyawa di hadapan pintu masuk rumah jirannya di Sibu semalam.

SIBU: Seorang wanita berusia 37 tahun ditemui mati selepas dipercayai terlebih minum minuman beralkohol, semalam.

Mangsa yang berasal dari Kanowit dijumpai mati di rumah jirannya di Jalan Kapor di sini, sekitar jam 7 pagi.

Pada malam sebelumnya (Ahad), wanita  itu dikatakan bersama-sama jirannya mengadakan sesi minum minuman keras di rumah jirannya.

Selepas menyediakan makan malam untuk anaknya, wanita itu terus ke rumah jirannya untuk sesi minum.

Sesi minum itu berakhir sekitar jam 11.30 malam dan semua mereka yang terlibat dikatakan mabuk dan terus tidur.

Pada sebelah paginya, rakan-rakannya difahamkan menjumpai mangsa terbaring kaku di hadapan pintu masuk rumah jirannya.

Suaminya yang dikatakan dalam perjalanan bekerja di Sibu Jaya turut dimaklumkan mengenai kematiannya.

Paramedik yang dihubungi bergegas ke rumah terbabit dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Menurut jirannya, mangsa seorang yang ketagih alkohol dan kerap minum.

Mangsa meninggalkan suami dan empat anak berusia antara lima hingga 20 tahun.