Peluang pertaruh bakat dalam ICT menerusi e-sukan

0

eSM-Sarawak diharap dapat bertindak sebagai pemberi panduan dalam meneroka peluang kerjaya

Oleh Hamimi Kassim //

TEROKAI ICT MENERUSI E-SUKAN: Perkembangan positif e-sukan di Malaysia diharap buka peluang kepada belia pertaruh bakat mereka dalam bidang ICT.

KUCHING: Perkembangan sukan elektronik atau e-sukan yang positif di Malaysia diharap dapat membuka peluang kepada golongan belia khususnya di Sarawak mempertaruhkan bakat mereka dalam bidang  teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menteri Muda Perhubungan dan Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin berkata, dengan pengiktirafan Majlis Sukan terhadap e-sukan sebagai satu bentuk sukan kompetitif di peringkat global, kerajaan mahu golongan tersebut dapat dipupuk dan diberi petunjuk sebaiknya untuk diketengahkan serta bersaing pada arena kebangsaan dan antarabangsa.

“Tambahan pula, kita hidup dalam era di mana kita tidak boleh meninggalkan kepentingan ICT.

“Dengan e-sukan sebagai platform pelancaran, belia diberi lebih banyak peluang dalam meneroka bidang ICT sebagai kerjaya.

“Bukan itu sahaja, ia secara tidak langsung menunjukkan petanda baik aspirasi negara untuk menjadi hab ICT global dan menjadi negara maju,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran e-Sports Malaysia (eSM)-Sarawak dan Majlis Penutupan The Boulevard DOTA2 Tournament di sini, petang semalam.

Justeru, Lee berharap pelancaran eSM-Sarawak dapat memainkan peranan aktif dalam menggalakkan e-sukan di peringkat negeri dan pada masa sama menyediakan pasukan untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Bukan itu sahaja, e-sukan diharap dapat menghindarkan belia hari ini daripada pelbagai aktiviti yang tidak sihat seperti dadah dan gengsterisme,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesyor dan menyokong usaha eSM-Sarawak mengenakan peraturan ketat ke atas ‘gamers’ dalam kalangan pelajar agar memiliki syarat akademik yang baik pada calon yang ingin bertanding sekiranya ingin menyertai sebarang pertandingan e-sukan.

“Saya percaya langkah ini akan mendorong pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran, pada masa sama tidak ketinggalan dan menjadi lebih seimbang dari segi pengurusan masa dan aktiviti,” katanya.

Selain itu, Lee berharap eSM-Sarawak dapat bertindak sebagai pemberi panduan dalam meneroka peluang kerjaya ICT di negeri ini.

“Saya percaya pakar-pakar ICT mempunyai permintaan tinggi dan mereka inilah yang akan dapat berkhidmat kepada Sarawak dan memastikan kita tidak ketinggalan dalam bidang ICT,” katanya.

Turut hadir Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Ahli Majlis DBKU Datuk Wee Hong Seng, Presiden eSM-Malaysia Datuk Latt Shariman Abdullah dan Presiden eSM-Sarawak Ian W Lee.

LANCAR: Lee (dua kanan) dibantu Ian (dari kiri) Latt, Wahap dan Wee melakukan gimik pelancaran eSM-Sarawak.