PKR Baram kenal pasti tiga calon untuk PRN

0

MIRI: PKR Cabang Baram mengesahkan parti itu sudah mempunyai tiga calon yang sudah disenarai pendek untuk mewakili parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha PKR Cabang Baram Dennis Along memberitahu, ketiga-ketiganya adalah muka baharu yang difikirkan paling layak mewakili parti kelak, sejajar dengan perubahan dan corak pengundi hari ini yang mahukan pemimpin berkualiti, berpendidikan dalam kalangan  profesional mewakili suara mereka.

“Ketiga-tiganya terpililh daripada golongan profesional dan berpendidikan tinggi serta mempunyai kualiti dan ciri pemimpin yang kita mahukan serta diterima oleh rakyat khususnya pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, semasa mengesahkan perkara tersebut pada sidang media yang diadakan di sini, Sabtu lalu.

Menurutnya, senarai pendek tiga calon tersebut akan dikemuka kepada pemimpin tertinggi PKR di peringkat negeri dan pusat sebelum keputusan akhir dibuat bagi menentukan dan memilih yang terbaik.

“Ketiga-tiganya adalah calon terbaik kami bagi kerusi Marudi, dua perempuan dan seorang lelaki. Seorang daripada calon perempuan tersebut berusia 54 tahun, Orang Ulu dari Baram manakala seorang lagi berusia 26 tahun, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PHD) berbangsa Iban dan berasal dari Lapok.

“Seorang lagi ialah calon kami untuk kerusi Marudi ialah lelaki, berusia 45 tahun, berbangsa Iban dan berasal dari Bakong. Beliau merupakan profesional yang bekerja dalam industri minyak dan gas,” katanya.

Menurut Dennis, PKR Baram yakin dengan calon yang  dipilih parti itu, PKR kali ini akan dapat menumbangkan ‘gergasi’ Barisan Nasional (BN), tanpa mengira sama ada penyandang sedia ada, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri dikekalkan atau diganti dengan calon BN yang lain.

Baru-baru ini, Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing telah mengumumkan calon parti itu yang akan bertanding di enam kerusi milik SPDP pada PRN akan datang, termasuk Marudi yang juga pemegang PhD.

“Bagi PKR pula, kami tidak peduli, siapa yang akan dicalonkan oleh BN di kerusi itu kelak sama ada muka baharu atau mengekalkan penyandang sedia ada, apa yang kami mahu ialah memenangi kerusi tersebut dan perbalahan timbul antara SPDP-TERAS merupakan satu kelebihan bagi kami,” katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ketua PKR Ranting Bakong Lawai Jalong.

Mengenai calon di kerusi Telang Usan dan Mulu (jika diluluskan SPR kelak), Dennis memberitahu, pihaknya  mempunyai calon di kedua-dua kerusi  dan ia hanya diumum sendiri oleh pemimpin tertinggi PKR Sarawak kelak.

“Yang pasti, Ketua PKR Baram Roland Engan akan bertanding di salah satu daripada kerusi tersebut. Kali ini kami amat yakin untuk memenangi kedua-dua kerusi tersebut, lebih-lebih lagi PKR mempunyai calon boleh menang yang diyakini mampu menawan kerusi tersebut.

“Apatah lagi dengan corak politik Sarawak yang semakin berubah ketika ini, di samping isu-isu semasa yang hangat diperdebatkan oleh rakyat termasuk di luar bandar,” jelasnya.