PPWS berjaya menyatupadukan wanita

0

Penubuhannya bawa wanita ke arah peningkatan ilmu, kemahiran, kualiti kehidupan

Oleh Rusnan Mustafa //

KREATIF: Nancy merakam kenangan bersama ahli PPWS Daerah Simunjan yang memenangi pertandingan membuat topeng pada majlis itu kelmarin.

SIMUNJAN: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) berjaya menyatupadukan wanita dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur menerusi aktiviti yang dijalankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga membawa wanita ke arah peningkatan ilmu dan kemahiran serta kualiti kehidupan yang lebih baik berteraskan kerjasama dan kesepakatan antara satu sama lain.

“Semangat kesukarelaan dan keharmonian inilah yang menjadi pemangkin kepada kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh PPWS sehingga menjadi salah sebuah NGO terkemuka dan dikagumi bukan sahaja di Sarawak malah seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jalinan Mesra Perwakilan Tiga Tahun PPWS Daerah Simunjan di Dewan Mesra Simunjan di sini kelmarin.

Nancy memberitahu, setakat ini jumlah ahli PPWS adalah seramai 13,000 orang di seluruh negeri yang menyaksikan daerah Simunjan mempunyi 50 cawangan dengan keahlian 1,600 orang.

Pada masa sama Ahli Parlimen Batang Sadong itu menggesa agar PPWS mempergiatkan pengambilan ahli baharu khasnya golongan muda menyertai pertubuhan tersebut.

“Oleh yang demikian saya berharap pucuk kepimpinan baharu PPWS Daerah Simunjan ini dapat memikirkan strategi dan pendekatan terbaik untuk menarik minat generasi muda melibatkan diri dengan PPWS,” katanya.

Selain itu, beliau menyarankan agar PPWS mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam membantu memartabatkan golongan wanita untuk lebih menonjolkan diri menerusi peranan dan sumbangan dalam sektor ekonomi dan sosiobudaya.

“ASEAN juga telah mengiktiraf peranan wanita dengan menggalakkan penyertaan wanita dalam pembentukan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.

“Alhamdulillah aspirasi ini diterima sebulat suara oleh negara anggota demi membangunkan ASEAN yang kompetitif, inovatif dan dinamik,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi PPWS Daerah Simunjan Dayang Jamilah Awang Hasan, bekas Pengerusi PPWS Ramlah Lahah dan tetamu kehormat lain.