Tak perlu syaratkan wakil rakyat fasih BM

0

Tidak wajar terutama di Sarawak kerana bahasa Inggeris bahasa rasmi di negeri ini

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Syarat menetapkan calon wakil rakyat fasih berbahasa Melayu dan lulus kepujian Bahasa Melayu (BM) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), cadangan yang tidak wajar terutama dalam perspektif Sarawak.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata ini kerana bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi di Sarawak.

Ujarnya lagi selain fasih BM, terdapat kriteria lain lebih penting untuk menjadi seorang wakil rakyat yang berjaya dan diterima semua pihak.

Menurutnya kelayakan akademik hanya salah satu daripada kriteria diperlukan namun aspek paling penting ialah personaliti dan kualiti sebenar diambil kira pengundi apabila tiba hari mengundi nanti.

Justeru katanya, sebarang usaha menetapkan kelayakan itu ke atas Ahli Parlimen khasnya adalah cubaan untuk menghapuskan demokrasi dan pilihan rakyat.

“Dalam Parlimen, perkara paling mustahak ialah wakil rakyat itu boleh bercakap untuk rakyat tanpa berasa takut atau pilih kasih dan sama ada mesej yang perlu disampaikan boleh dibangkitkan.

“Kemahiran dalam sesuatu bahasa dan dalam konteks ini bahasa Melayu adalah bonus tetapi bukan satu kemestian,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan ahli akademik Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, mensyaratkan individu yang mahu menjadi wakil rakyat bagi peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlu sekurang-kurangnya mendapat kepujian BM dalam SPM.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa menambah, semasa berkempen (pilihan raya) calon wakil rakyat akan dinilai oleh pengundi menerusi ceramah serta debat yang diadakan.

Katanya lagi sebaik dipilih, pencapaian Ahli Parlimen mahupun ADUN di luar mahupun di dalam Parlimen serta DUN akan dinilai oleh pengundi apabila penyandang mahu mempertahankan kerusinya.

“Jika kriteria ini (lulus kepujian BM) dimestikan sekarang, pada masa akan datang sudah tentu mungkin ada cadangan mengatakan lulus kepujian tidak mencukupi, ia mesti ‘cemerlang’ dalam SPM atau lulus kepujian dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau malah Ijazah Sarjana Muda dalam BM.

“Perkara ini akan berlarutan melibatkan subjek lain, seperti Matematik, kemudian Asas Perakaunan dan tidak mustahil Bahasa Inggeris… maknanya perkara ini tidak akan ada titik noktahnya,” katanya.

Oleh itu ujarnya, tidak harus wujud sebarang mandatori atau kehendak undang-undang untuk kelayakan akademik bagi mana-mana individu yang mahu menjadi wakil rakyat.