Wakil rakyat harus menguasai asas BM

0

KUCHING: Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensyaratkan individu yang ingin menjadi wakil rakyat perlu mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berpendapat tidak semestinya fasih, namun memadai calon wakil rakyat itu dapat bercakap, memahami dan menulis dalam bahasa kebangsaan tersebut.

“Saya menyokong syarat yang dicadangkan itu, namun paling penting ialah seseorang wakil rakyat itu dapat bercakap, memahami dan menulis dalam bahasa Melayu,” katanya di sini, semalam.

Tambah Lee, sekiranya tidak dapat berbahasa Melayu pastinya sukar wakil rakyat menyampaikan hasrat rakyat, memahami perbahasan serta melihat sebarang dokumen dan laporan yang diterima.

“Maksud saya, dalam Parlimen semua dokumen dan persidangan adalah dalam bahasa Melayu.

“Jadi untuk menjadi seorang wakil rakyat yang efektif, seseorang itu mestilah berkebolehan dalam bahasa Melayu,” jelasnya.