Angkara telefon

2

Oleh Michael Ubam//

 

Budak cedera di dahi, hidung dipercayai dicucuk bapa dengan batang penyapu.

SIBU: Seorang budak lelaki berumur 10 tahun cedera di dahi dan hidungnya selepas dipercayai dicucuk bapanya dengan batang penyapu semalam.

Kejadian itu disedari jiran sebelah rumah mangsa di Jalan Belian di sini selepas mendapati mangsa menangis dengan muka berlumuran darah.

Pasukan polis yang dimaklumkan oleh jiran terbabit segera ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan.

Siasatan polis mendapati dahi budak terbabit mempunyai kesan luka dan bahagian atas hidung mangsa didapati terkopek dipercayai dicucuk bapanya, 36, dengan batang penyapu.

Menurut sumber, mangsa yang tidak bersekolah lagi sering dibawa bapanya ke tempat kerja di sebuah tapak pembinaan di sini.

Difahamkan, bapa mangsa dipercayai terlalu marah kerana dia terpaksa membayar ganti rugi bernilai RM500 selepas anaknya didakwa mencuri sebuah telefon bimbit milik rakan sekerjanya dan mengakibatkan paparan skrin telefon bimbit itu pecah.

“Suami saya mungkin terlalu marah dan gagal mengawal emosinya sehingga menyebabkan beliau bertindak mencederakan anak kami dengan batang penyapu,” kata ibu mangsa, 35, yang bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan jiran mengenai insiden itu.

Ibu mangsa yang bekerja di sebuah kedai kopi di sini memberitahu suaminya tidak pernah berkelakuan sedemikian terhadap anaknya sebelum ini.

“Anak lelaki saya memang sangat nakal dan bapanya hanya meninggikan suara untuk memarahi anak kami jika dia ada buat salah,” katanya.

Namun, kali ini ibu mangsa sangat terkejut apabila melihat kesan kecederaan di muka anaknya agak serius.

Terdahulu, mangsa dikatakan membuang telefon bimbit itu ke dalam parit selepas dia dituduh mencuri.

Oleh kerana telefon bimbit itu rosak dan skrin paparannya pecah, bapa mangsa terpaksa membayar ganti rugi RM500 kepada rakan sekerjanya.

Sejurus itu, bapa mangsa membawa anaknya pulang ke rumah sewa mereka dan ketika itulah insiden tersebut dipercayai berlaku.

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dihubungi polis memberi rawatan kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut pada jam 1.30 petang semalam.

Bapa mangsa kini ditahan di lokap Balai Polis Sentral di sini sementara kes dalam siasatan.