Infrastruktur maklumat kritikal perlu dilindungi

0

Oleh Patricia Gari//

 

KONGSI ILMU: (Dari kanan) Fadilah, Abang Johari dan Ewon berbual semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Teknik Keselamatan IT-ISO-IEC JTC1/SC 27.

KUCHING:Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata wujud keperluan yang tinggi untuk melindungi infrastruktur maklumat kritikal negara menerusi sistem keselamatan maklumat standard.

Beliau berkata langkah itu penting berikutan meningkatnya penyerapan, perhubungan dan proses globalisasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain perubahan pesat bentuk ancaman siber yang semakin dinamik ketika ini.

“Ini bermakna kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia mesti mengadaptasi pendekatan bersepadu untuk melindungi infrastruktur-infrastuktur ini daripada ancaman siber,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca Menteri Pelancongan merangkap Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada Majlis Perasmian Mesyuarat Teknik Keselamatan IT-ISO-IEC JTC1/SC 27 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Menurut Adenan, kerajaan selama ini melindungi infrastruktur maklumat kritikal negara namun sejak kebelakangan ini, revolusi maklumat dan digital telah mengubah semua aspek kehidupan.

“Semua aktiviti bergantung kepada rangkaian infrastruktur ICT dan ini meningkatkan risiko infrastruktur maklumat kritikal negara diancam.

“Ancaman siber ini dalam banyak bentuk dan amat berbeza daripada risiko tradisional yang pernah ditangani kerajaan pada masa dahulu.

“Sekarang ia berlaku lebih pantas, lebih murah dan tidak diketahui pelakunya,” ujar Adenan.

Sementara itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin dalam ucapan aluannya berkata, Malaysia terlibat aktif dalam kerja-kerja pembangunan standard antarabangsa sebagai ahli SC 27 (Subcommitee 27).

“Beberapa usaha dan pengiktirafan sebagai contoh, sebagai ketua editor garis panduan ISO IEC 27037 untuk identifikasi, himpunan, perolehan dan pemeliharaan bukti digital yang diterbitkan pada 2013.

“Kita juga dalam proses menterjemah versi terkni ISO IEC 27001 Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat-Syarat (ISMS) serta kod amalan ISO IEC 27002 untuk mengawal keselamatan maklumat kepada versi bahasa Melayu,” jelasnya.

Beliau percaya dengan mengadaptasi ISMS kepada industri Malaysia khasnya Intrastruktur Rangkaian Maklumat Kritikal negara.

Mengenai mesyuarat itu Ewon memberitahu bahawa ia disertai 200 peserta yang merupakan pakar dalam industri teknologi maklumat dari 30 negara.

Mesyuarat itu katanya, adalah platform terbaik kepada delegasi termasuk dari Malaysia berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai keselamatan maklumat atau siber.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia Datuk Fadilah Baharin, Ketua Pegawai Teknologi Cybersecurity Malaysia Dr Solahuddin Shamsuddin, Setiausaha Bahagian Industri MOSTI Dr Mokhtar Tahar, Ketua Pegawai Sektor Pemerkasaan Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Toh Swee Hoe dan Pengerusi ISO/IEC JTC 1 SC 27 Dr Walter Fumy.