Lelaki lapor polis, pacuan empat roda miliknya disita

0

SIBU: Seorang lelaki membuat laporan polis selepas sebuah pacuan empat roda miliknya disita tanpa sebab oleh sebuah Lembaga Berkanun di sebuah ladang sawit di Kanowit, sejak 25 April lalu.

Pengadu, 49, memberitahu dua buah kenderaan lain termasuk sebuah lagi pacuan empat roda dan sebuah lori tiga tan milik dua saudaranya juga mengalami masalah sama.

Menurut pengadu, beliau menghubungi pihak lembaga terbabit bertanya mengenai sebab-sebab kenderaan mereka disita.

Bagaimanapun, pengadu hanya diberitahu oleh kakitangan pihak lembaga bahawa kenderaannya masih dalam siasatan.

“Mereka tidak mahu memberi apa-apa sebab kenderaan kami disita dan juga tidak menyatakan secara jelas mengenai kesalahan yang kami lakukan,” katanya.

Menurutnya, pihak lembaga perlu menyatakan secara terperinci sebab-sebab kenderaan mereka disita.

Katanya, kenderaan mereka digunakan oleh para pekerja untuk mengumpul buah sawit di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) ketika pihak lembaga bertindak menahan dan menyita ketiga-tiga kenderaan terbabit pada hari tersebut.

Kes tersebut dilaporkan di Balai Polis Sibu untuk rujukan pihak berkenaan.