Pasar raya rugi hampir setengah juta, duit dikebas perompak

0

SIASAT: Stanley (tengah) mendengar sesuatu daripada pegawai penyiasat kes, ASP Zainan Azili Abdul Latiff (dua kiri) ketika melawat tempat kejadian semalam.

MIRI: Sebuah pasar raya kerugian hampir setengah juta ringgit setelah wang hasil kutipan perniagaan selama empat hari dirompak dua lelaki menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Pusat Komersil Pelita di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian pada jam 11.55 pagi itu, dua pengawal sebuah syarikat kawalan keselamatan ditugaskan membawa sebuah beg kanvas mengandungi wang tunai RM474,000 milik pasar raya terbabit untuk dimasukkan ke sebuah bank di sini.

Katanya, wang itu adalah hasil kutipan perniagaan selama empat hari iaitu sejak Jumaat lalu hingga kelmarin.

“Sebaik keluar dari pasar raya itu dan semasa dalam perjalanan menuju ke van syarikat terbabit di kawasan berhampiran, seorang pengawal keselamatan yang membawa beg duit berkenaan dihalang oleh seorang lelaki yang kemudiannya mengeluarkan sepucuk senapang patah.

“Lelaki terbabit menghentak belakang kepala mangsa menggunakan pangkal senapang dan terkena telinga kiri mangsa. Kesempatan itu digunakan perompak terbabit untuk merampas beg berisi duit sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal menuju arah jalan utama,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini tengah hari semalam.

Menurut Stanley, perompak terbabit dipercayai terdiri daripada dua individu yang memakai topi keledar dan menaiki sebuah motosikal dipercayai jenis skuter yang tidak mempunyai nombor plat pendaftaran.

Menurutnya, polis melakukan siasatan terperinci dari segenap aspek termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kawasan tersebut.

Ketika ditanya jika ada unsur curiga atau perbuatan orang dalam, beliau menjelaskan polis akan melakukan siasatan terperinci termasuk mengambil keterangan tiga pengawal keselamatan terlibat dan seorang pemandu yang menunggu di dalam van ketika kejadian untuk memastikan kesahihan atau kebenaran laporan dibuat mangsa.

“Seperkara saya hendak tekankan di sini, mereka (pengawal) membawa duit sebanyak itu, tetapi tidak membawa senjata. Sedangkan syarikat dilesenkan dengan senjata. Polis akan minta penjelasan syarikat terbabit kenapa mereka melakukan tindakan sedemikian,” tegasnya.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai rompakan bersenjata yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, semasa kejadian van syarikat kawalan keselamatan terbabit turut membawa wang milik beberapa syarikat lain untuk dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing.