Premis komputer siber musnah dalam kebakaran

0

DIJILAT API: Premis komputer siber terbakar di Pekan Sundar Ahad lalu.

LAWAS: Penduduk di Pekan Sundar gempar apabila sebuah premis menjalankan aktiviti komputer siber musnah dalam kebakaran berlaku Ahad lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu pelbagai peralatan komputer dipercayai digunakan untuk aktiviti siber musnah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lawas, Mohd Shamlie Radaie berkata kebakaran melibatkan tingkat atas lot kedai dua tingkat yang musnah hampir 80 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika kejadian berlaku memusnahkan tingkat atas premis serta beberapa peralatan komputer siber,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, seramai 12 anggota diketuai Masli Dollah bergegas ke tempat kejadian menggunakan sebuah jentera Atego dan Dmax mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai bersebelahan sebaik menerima panggilan jam 4.14 petang.

Anggotanya tiba jam 4.40 petang dan kebakaran berjaya dipadamkan dua jam kemudiannya dan operasi ditamatkan jam 6.10 petang.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.