Seludup rentas sempadan berkurangan

0

Oleh Sudan Ajang//

DIPINDAHKAN: Kenderaan memiliki nombor plat Malaysia (kiri) membawa barangan dari negara ini untuk dipindahkan ke kenderaan lain yang tiada nombor pendaftaran.

MIRI: Kegiatan penyeludupan barangan harian di kawasan rentas sempadan Malaysia dan Indonesia di Ba’ Kelalan dan Long Bawan semakin berkurangan berikutan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak 1 Mei lalu.

Ketua KPDNKK Cawangan Limbang, Zakaria Awang berkata seramai tujuh pegawai KPDNKK ditempatkan di pos sempadan Ba’ Kelalan bersama anggota penguat kuasa lain termasuk Jabatan Imigresen dan Polis.

“Setakat ini, kita belum menerima laporan berhubung kegiatan penyeludupan walaupun sebelum ini dikatakan berlaku secara berleluasa.

“Kita akan terus menempatkan pegawai di situ selama seminggu secara bergilir-gilir bagi memantau keadaan sehingga keadaan pulih atau mendapat arahan jabatan di peringkat persekutuan sama ada diteruskan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, akhbar berbahasa Inggeris melaporkan kegiatan penyeludupan barangan harian seperti minyak masak, minyak, gula berlaku secara berleluasa malah dadah juga dibawa keluar masuk melalui sempadan tersebut.

Zakaria berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata kementerian akan menempatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan kes kecurian kenderaan yang dibawa keluar melalui sempadan itu.

Menurut Wan Junaidi, selain itu kajian dan rancangan mengetatkan kawalan keselamatan di sepanjang 2,700 kilometer sempadan di Sarawak dan 700 kilometer di Sabah termasuk pembinaan tambahan pusat Kastam, Imigresen dan kuarantin di sempadan tersebut.

Seorang penduduk Ba’ Kelalan, Tadam Arun memberitahu pembinaan jalan raya bertar dari Ba’ Kelalan ke Long Bawan sejak dua tahun lalu menyebabkan kegiatan penyeludupan semakin berleluasa.

Sebelum jalan raya tersebut dinaik taraf, kegiatan penyeludupan berkurangan dan jumlah barangan dalam kuantiti sedikit namun selepas dinaik taraf kegiatan penyeludupan semakin ‘bermaharajalela’.

Malah, keadaan jalan raya yang baik turut ‘menguntungkan’ pencuri kenderaan kerana dapat melarikan kenderaan itu ke sempadan dengan cepat.