Lelaki dakwa dibelasah empat lelaki perkenal diri sebagai polis

0

KUCHING: Seorang lelaki mendakwa dibelasah empat lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum memaksanya mengeluarkan wang dari akaun simpanannya semalam.

Mangsa, 24, semasa kejadian dikatakan berada di dalam kereta milik teman wanitanya apabila dia didatangi empat suspek terbabit yang terus memintanya menyerahkan dokumen pengenalan diri sekitar jam 12.30 pagi.

Kerana curiga, mangsa kemudian meminta suspek menunjukkan kad polis namun seorang daripada mereka terus bertindak membelasahnya sebelum diikuti oleh rakan-rakannya.

“Muka mangsa ditutup dengan kain sebelum dia dibawa ke tiga buah bank iaitu di Batu 3, Satok dan Pending untuk mengeluarkan wang dari akaun simpanannya namun tidak berjaya.

“Suspek kemudian dibawa ke sebuah bank di Padungan dan dipaksa mengeluarkan wang dari akaun milik teman wanitanya iaitu sebanyak RM300,” kata sumber.

Suspek kemudian meninggalkan mangsa dengan turut melarikan telefon bimbit jenis iPhone 6 milik mangsa.

Mangsa yang risau akan terjadi perkara yang tidak diingini kemudian segera membuat laporan polis berhubung kejadian sebelum mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.

Siasatan polis masih dijalankan.