Lima keluarga terjejas dalam kebakaran rumah dua tingkat

0

RANAP: Keadaan rumah tersebut selepas kebakaran.

KOTA SAMARAHAN: Sebuah rumah dua tingkat yang didiami lima keluarga terdiri daripada 16 orang di Kampung Stakan Melayu di sini terbakar dipercayai berpunca daripada litar pintas pagi kelmarin (Selasa).

Difahamkan, kebakaran berlaku sekitar jam 10.20 pagi di mana pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian beberapa minit kemudian dan tiba di lokasi pada jam 10.40 pagi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, api berjaya dikawal 10 minit selepas itu namun 90 peratus struktur rumah jenis separuh kekal itu telah terbakar.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 40 x 60 kaki persegi di mana 90 peratus struktur rumah telah terbakar.

“Jentera pertama dari Balai Bomba Kota Samarahan bersama tujuh anggota tiba di lokasi kejadian pada jam 10.26 pagi seterusnya berjaya mengawal keadaan pada jam 10.55 pagi dan operasi tamat pada jam 12.55 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, kesemua penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri sebelum api marak dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kebakaran disyaki berpunca daripada litar pintas, namun siasatan masih dijalankan untuk mencari punca sebenar kebakaran,” katanya.

Beberapa anggota dari Balai Bomba Batu Lintang dan Tabuan Jaya turut dikerahkan ke tempat kejadian.