Makmal dadah terbongkar, pelbagai dadah bernilai RM940,000 dirampas

0

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membongkar sebuah makmal memproses dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM940,000 dalam dua serbuan di Jalan Burmah dan Jalan Masjid Negeri kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata polis terlebih dahulu menahan empat orang terdiri daripada dua lelaki tempatan serta seorang wanita masing-masing rakyat China dan Vietnam di sebuah pangsapuri di Jalan Masjid Negeri pada jam 4.30 petang.

Beliau berkata dalam serbuan pertama itu pelbagai jenis dadah dirampas antaranya 481.8 gram ketamin; 170 biji pil Erimin 5; 2,458.2 gram serbuk putih dipercayai dadah; 33.8 gram serbuk Ecstasy; 3.7 gram ganja; dan 2.5 gram heroin.

“Susulan penahanan empat suspek itu polis menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Jalan Burmah pada jam 7.30 malam dan menahan seorang lagi lelaki berusia 37 tahun.

“Lelaki beralamat di Padang Besar, Perlis itu mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan disyaki menjadi dalang kegiatan haram itu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Thaiveegan berkata dalam serbuan kedua itu polis merampas pelbagai alatan menghasilkan dadah seperti ketuhar pembakar, alat penimbang, alu lesung, tukul, pengering rambut, mesin pengisar dan pengadun.

“Sebahagian besar dadah yang telah siap diproses turut dijumpai di dalam rumah itu antaranya 6,100 gram serbuk Ecstasy; 2,760 gram serbuk dadah berwarna putih dan 370 biji pil Ecstasy,” katanya.

Beliau berkata sindiket pengedaran dadah itu dipercayai telah beroperasi dalam tempoh enam bulan hingga setahun dengan urus niaga dilakukan menerusi pemindahan wang di akaun bank.

“Tiada wang tunai dijumpai justeru kami akan menyiasat akaun-akaun bank suspek bagi mengesan rekod transaksi kewangan mereka,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu turut mempunyai beberapa jenama ciptaan sendiri yang dicap pada pil dan bungkusan dadah yang dijual mengikut cita rasa dan kehendak pelanggan.

“Ia dibuat mengikut tempahan dan untuk pasaran Pulau Pinang serta negeri-negeri sekitar dan polis sedang menyiasat sama ada masih ada saki baki anggota kumpulan yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka yang berusia antara 27 dan 36 tahun itu direman hingga 11 Mei ini untuk siasatan lanjut. — Bernama