Pengalaman hampir 20 tahun berkhidmat di Permatang Pauh azimat buat Suhaimi

0

BUKIT MERTAJAM: Pengalaman hampir 20 tahun berkhidmat untuk penduduk di Permatang Pauh dalam usia yang masih muda, menjadi azimat berharga buat calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin.

Walaupun kali pertama bertanding dalam pilihan raya, Suhaimi, 43, yakin usaha dan khidmat beliau selama ini kepada penduduk di Parlimen Permatang Pauh akan mendapat perhatian para pengundi yang akan menentukan nasib wakil rakyat di kawasan Parlimen itu hari ini.

“Saya dah kerja hampir 20 tahun dalam UMNO daripada peringkat Pemuda sehingga kepada Setiausaha Bahagian (Permatang Pauh), untuk berbakti di Permatang Pauh dan kepada semua penduduk di Permatang Pauh tak kira kaum…Melayu, Cina dan India,” katanya kepada pemberita di Pusat Operasi BN di sini semalam.

Katanya dalam kempennya sejak 25 April, beliau bertemu ramai penduduk dan pengundi yang menyatakan sendiri mereka mahukan wakil rakyat yang dapat membantu mereka.

PRK Parlimen Permatang Pauh hari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Menyedari cabaran sukar untuk memecahkan penguasaan PKR yang telah berakar umbi di Parlimen Permatang Pauh sejak 17 tahun lalu, Suhaimi berkata beliau bersedia membaiki kelemahan dirinya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya di Parlimen Permatang Pauh.

“Dari awal-awal tuan puan sendiri nampak saya kurang pandai bercakap. Tetapi sampai semalam (kelmarin), saya sudah memperoleh pengalaman terbaik sewaktu kempen untuk membaiki kekurangan diri,” katanya.

Suhaimi berkata kemena-ngan BN pada PRK Rompin kelmarin menunjukkan bahawa BN memang mampu meyakinkan rakyat dan beliau yakin pengundi di Permatang Pauh bijak dan mampu membuat pilihan yang tepat dengan mengundi BN.

“Buang jauh-jauh pengalaman 17 tahun itu, saya sedia untuk membantu rakyat dalam mendapatkan apa yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya.

Katanya, beliau sanggup berdepan dengan semua cabaran ketika bertanding di Parlimen Permatang Pauh walaupun menyedari ia merupakan kubu kuat PKR bagi memastikan nasib rakyat di kawasan itu terbela. — Bernama