Tilam terbakar, lelaki melecur 70 peratus

0

Mangsa duduk di bahagian kargo belakang pikap tidak sempat menyelamatkan diri

Oleh Jeremy Lanson //

MELECUR TERUK: Lelaki warga Indonesia tidak sempat menyelamatkan diri, tilam di belakang pikap tiba-tiba terbakar.

KUCHING: Gara-gara tilam terbakar, seorang lelaki warganegara Indonesia melecur 70 peratus badannya semasa menaiki pikap yang dalam perjalanan dari Serian menuju ke Sri Aman, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata mangsa hanya dikenali sebagai Empera, berusia 60 tahun.

Menurutnya, mangsa semasa kejadian duduk seorang diri di bahagian kargo ruang belakang pikap jenis Toyota Hilux tersebut yang membawa muatan tilam serta baja dan racun rumput sekitar jam 1 petang.

“Kejadian berlaku di Bukit Rasau, Jalan Serian-Sri Aman di mana kebakaran dipercayai bermula daripada tilam yang terbakar secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.

“Ekoran itu, mangsa melecur 70 peratus badannya sebelum berjaya diselamatkan oleh orang awam,” katanya.

Difahamkan, pikap tersebut turut dinaiki bersama dua warga tempatan dan empat lagi warga Indonesia.

“Api berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba di tempat kejadian,” jelas Farhan.

Mangsa telah dikejarkan ke hospital berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang pengendali jengkaut bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri sebelum jentera berat tersebut terbakar secara tiba-tiba di Jalan Stapok di sini, semalam.

Menurut sumber, lelaki yang mengendali jentera tersebut memberitahu dia segera me-nyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari asap tebal mula keluar dari bahagian enjin sekitar jam 10 pagi.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba dan penyelamat yang bergegas ke tem-pat kejadian.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

TERBAKAR: Bahagian kargo ruang belakang pikap tersebut iaitu tempat mangsa duduk semasa kejadian.