Dua terkorban lori tembung Kenari

0

MASUK GAUNG: Lori simen yang menjunam ke dalam gaung

MASUK GAUNG: Keadaan kereta Kenari terbabit dalam kemalangan di Jalan Bintulu-Tatau semalam.

Dua lagi mangsa terselamat, termasuk kanak-kanak berusia tujuh tahun

BINTULU: Dua lelaki terbunuh manakala dua lagi terselamat termasuk kanak-kanak berusia tujuh tahun apabila cubaan lori simen memotong kenderaan di depannya gagal menyebabkan ia bertembung dengan kereta Kenari dalam kemalangan maut di Jalan Bintulu-Tatau semalam.

Ketua Balai Bomba Tatau Pegawai Bomba Tinggi Azrel Izaidi Ahmad berkata, pemandu lori dikenali sebagai Seli Mat, 41, manakala pemandu Perodua Kenari dikenal pasti sebagai Ho Soon Kok, 37.

“Dua penumpang terselamat dikenali pasti sebagai Sie Chieng Yiun, 32, dan seorang kanak-kanak iaitu anak kepada mangsa, Tracy Ho Xi Qin, 7. Kedua-dua mereka berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan anggota bomba,” ujarnya.

Azrel menjelaskan, kedua-dua mangsa didapati tersepit dalam kenderaan masing-masing dan anggota bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi tiba di lokasi kejadian pada jam 8.51 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang memandu Kenari berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tatau.

“Manakala pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan oleh kumpulan perubatan Klinik Kesihatan Tatau,” jelasnya.

Katanya, lori simen terbabit dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya namun bertembung dengan Kenari mengakibat lori berpusing ke kiri jalan lalu menjunam ke dalam gaung sedalam lapan meter.