Aktiviti sukan pupuk budaya sihat: John

0

BINTULU: Penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan dapat memupuk amalan budaya sihat serta mengelak mereka terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) Datuk John Sikie Tayai berkata, pelajar aktif bersukan dapat membantu meningkat tahap kesihatan mereka sekali gus membawa tumpuan pembelajaran lebih baik dalam bilik darjah.

Katanya, ia juga membantu meningkatkan pencapaian akademik para pelajar, meningkatkan disiplin mereka serta memupuk kerjasama antara pendidik, ibu bapa dan pelajar.

“Saya menyokong penuh aktiviti sekolah dan sukan seumpamanya serta berharap akan dapat diteruskan penganjurannya pada masa akan datang,” katanya pada majlis penangguhan Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-6 Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau di Padang SMK Tatau.

Sementara itu, Guru Besar SK Tatau Janudin Ab Rahman berkata kejohanan itu diadakan bagi mencungkil bakat-bakat baharu murid-murid sekolah itu sebagai persediaan menghadapi kejohanan sukan olahraga tahun depan sekali gus memberi pendedahan aktiviti kesukanan sekolah.

Katanya, SK Tatau mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada kejohanan balapan dan padang Majlis Sukan Sekolah- Sekolah Rendah (MSSR) Daerah Tatau 2015 memandangkan jumlah murid-murid sekolah itu teramai berbanding 15 sekolah lain.

Antara acara dipertandingkan ialah sukaneka, acara padang dan balapan, keceriaan khemah dan perbarisan lintas hormat.

Dalam pada itu, Francis Juli dan Ameliana Kebing masingmasingnya dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati.

Juara keseluruhan disandang Rumah Alza, Perbarisan Terbaik, Rumah Exora dan Khemah Terbaik, Rumah Exora.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Mohadi Mubin, Yang Dipertua PIBG SK Tatau Zulkifli Othman, Penolong Kanan 1 SMK Tatau, Ismail Ahmad, guru-guru serta ibu bapa.