JPAM SJN FC bersaing sengit buru kejuaraan

0

KUCHING: JPAM SJN FC terus memberi tentangan sengit memburu kejuaraan K-League iM 2015 selepas melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas I.E.M FC di Padang C, Petra Jaya di sini petang semalam.

Pasukan bimbingan Abdol Wahed Uji itu terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk menjaringkan gol pertama biarpun menguasai perlawanan sejak wisel awal.

Pemain penyerang, Mohd Asrulah Drahman meletakkan JPAM SJN FC di depan menerusi sepakan percuma.

JPAM SJN FC terus bernafas memburu gol dan usaha mereka berhasil menerusi Mohd Azhar Mazlan pada minit ke-44.

Bagaimanapun, Azhar sekali lagi muncul wira JPAM SJN FC apabila meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-47.

Ketinggalan tiga gol, I.E.M FC mengubah corak permainan dan menjaringkan gol tunggal menerusi Mohd Faizan Saugi pada minit ke-74.

Abdol Wahed ditemui selepas perlawanan, bagaimanapun tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

“Kita memiliki deretan peluang namun barisan serangan gagal memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya.

“Saya berharap ketumpulan barisan serangan tidak berlaku lagi pada perlawanan seterusnya,” kata beliau.