Sri Kenyalang juara Lumba Perahu Regata Mini Betong

0

BETONG: Sri Kenyalang dinobatkan juara Lumba Perahu Pecut Sakai 4 pada Regata Mini sempena Karnival Gawai Peringkat Bahagian Betong 2015 di Tasik Medan Betong kelmarin.

Pasukan itu menewaskan pesaing terdekatnya, Rando pada pusingan akhir.

Begitupun, Rando memberi saingan hebat sebelum Sri Kenyalang memecut di garisan penamat menyaksikan hasratnya memenangi keduadua acara akhir dipertandingkan tidak kesampaian.

Terdahulu, Rando menerusi pekayuh yang sama menjuarai acara Tarik Tali Atas Air Menggunakan Perahu biarpun dipaksa untuk mengerah tenaga beraksi pada kedua-dua pusingan akhir yang menyaksikan mereka menewaskan Landas.

Keputusan rasmi Regata Mini, acara Lumba Perahu Pecut menyaksikan Sri Kenyalang dinobatkan juara manakala Rando dan Landas masing-masing naib juara dan tempat ketiga.

Acara Tarik Tali Atas Air Menggunakan Perahu, Rando diumumkan juara selepas menewaskan Landas (naib juara) manakala Bomba yang bersaing merebut kedudukan ketiga berjaya menewaskan PDRM pada saingan terdahulu.

Sementara itu, keduadua acara dipertandingkan menyaksikan penyertaan 12 pasukan bagi merebut hadiah kejuaraan sempena karnival tersebut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang hadir menyaksikan saingan pusingan akhir menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama isterinya Datin Empiang Jabu, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat dan isteri, Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel dan isteri, Timbalan Residen Bahagian Betong Galong Luang, Pegawai Daerah Betong Friday Belik, Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Betong Meehan Jorai san Setiausaha Majlis Daerah Betong, Bujang Ladi.