Tiada tindakan

0

BILA LAGI?: Bahagian runtuhan di Jalan Puncak Borneo masih belum dibaik pulih.

Bahagian Jalan Puncak Borneo rosak teruk akibat tanah runtuh awal tahun ini masih belum dibaik pulih.

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Kira-kira empat bulan sudah berlalu namun masih tiada tindakan baik pulih dilakukan ke atas bahagian Jalan Puncak Borneo yang rosak teruk akibat tanah runtuh semasa hujan tanpa henti pada awal tahun ini.

Justeru, keadaan itu telah menimbulkan rasa kecewa penduduk dari lebih 10 kampung di Ulu Padawan yang menggunakan jalan berkenaan sebagai laluan utama di mana mereka kini terpaksa melalui alternatif lama iaitu Jalan Padawan yang jaraknya lebih jauh, untuk pergi ke bandar atau bekerja.

Menurut Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Mambong Willie Mongin, kerajaan seharusnya segera membaik pulih jalan tersebut kerana ia amat diperlukan oleh orang ramai khususnya penduduk di Ulu Padawan.

“Sudah empat bulan berlalu namun tiada apa-apa dilakukan ke atas jalan ini tetapi kalau di Semenanjung, jalan rosak seperti ini pasti akan dibaik pulih dengan segera… ini menunjukkan rakyat Sarawak dianaktirikan.

“Sepatutnya jalan ini dibaik pulih dengan segera atau setidak-tidaknya kerajaan membina jalan lencongan bagi membolehkan para penduduk melaluinya menggunakan kenderaan kerana menerusi Jalan Padawan, mereka perlu melalui perjalanan berjam-jam untuk pergi bekerja atau ke bandar,” katanya ketika ditemu bual, semalam.

Jalan Puncak Borneo adalah jalan yang paling teruk rosak akibat banjir dan tanah runtuh di Sarawak semasa musim hujan pada awal tahun ini sehingga menjejaskan kampung-kampung di Ulu Padawan seperti Kampung Annah Rais, Sadir, Simuti, Sibakar, Sibuang, Kiding dan banyak lagi.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin telah menyatakan bahawa Jalan Puncak Borneo memerlukan peruntukan kira-kira RM10 juta untuk membina lencongan jalan dari Braang Bayur menuju ke Puncak Borneo.

Bagaimanapun, Willie yang juga ahli Majlis Pimpinan merangkap ketua Biro Keanggotaan PKR Sarawak berkata tiada kelihatan sebarang kerja dilakukan untuk mengatasi segera keadaan jalan tersebut di mana pada masa ini, penduduk kampung telah membina sendiri jalan lencongan di situ namun ia hanya dapat dilalui oleh motosikal.

Dalam pada itu, Willie berkata kerosakan jalan tersebut turut menjejaskan perniagaan para pengusaha inap desa  (homestay) terutama di Kampung Annah Rais dan Kampung Sapit.

“Perniagaan pengusaha homestay juga teruk terjejas kerana jumlah pelancong yang berkurangan disebabkan keadaan jalan yang rosak itu,” katanya.

Kelmarin, satu demonstrasi aman telah berlangsung di lokasi runtuhan jalan tersebut iaitu menuju ke Kampung Pangkalan Ampat dengan disertai kira-kira 50 penduduk dari kampung-kampung terjejas dan diketuai Willie.

Menjelas mengenai demonstrasi itu yang tetap berlangsung walaupun dalam hujan lebat, Willie berkata ia adalah untuk mendesak kerajaan segera membaik pulih jalan tersebut.

“Tiada apa yang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab ke atas Jalan Puncak Borneo ini dan jika ia berterusan, kami akan membawa isu ini ke peringkat pimpinan tertinggi negara iaitu pejabat Perdana Menteri dan kepada Yang di-Pertuan Agong serta badan-badan antarabangsa,” katanya.