Kumus juara kategori terbuka lumba perahu naga

0

KUCHING: Perahu naga, Kumus membuktikan kehebatannya apabila merangkul juara kategori terbuka perlumbaan perahu naga pada Pesta Air Sarikei sempena Pesta Nanas di Tebingan Nyelong, Sarikei petang Sabtu lalu.

Naib juara bagi kategori terbuka dimenangi perahu naga, Landas Sarikei dan tempat ketiga disandang perahu naga, Universiti Swinburne.

Bagi kategori antara kampung, juara disandang perahu naga kepunyaan JKKK Rumah Langgie Sare, naib juara dimenangi perahu naga, Langkau Arau dan ketiga perahu naga milik Azam Sarikei.

Manakala bagi kategori jabatan, juara disandang Kumus IADA, naib juara milik Jabatan Tanah dan Survei (Landas) dan ketiga Lembaga Sungai-Sungai (LSS).

Sementara itu, kategori persatuan juara menjadi milik perahu naga Landas Sarikei, naib juara Kumus dan ketiga Universiti Swinburne.

Perlumbaan sehari itu dianjurkan Pejabat Daerah Sarikei dengan kerjasama Zalix Event Management.

Pengurus perlumbaan, Rozalix Edi Wahab berkata perlumbaan perahu naga itu merupakan julung kali diadakan di Sarikei dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan peserta dan penonton.

“Kita amat berbangga dengan sambutan yang luar biasa diberikan oleh penduduk sekitar Sarikei yang dianggarkan lebih 10,000 orang membanjiri Tebingan Nyelong pada Sabtu lalu,” katanya ditemui sini semalam.

Menurutnya, perlumbaan perahu naga akan dijadikan acara tahun sempena Pesta Nanas Sarikei pada tahun akan datang.