TYT rasmi Dewan Tun Taib di Sekolah Tunku Putra

0

Oleh Hamimi Kassim //

SIMBOLIK: Tun Taib (tengah) dibantu pelajar sambil disaksikan Syed (dari kanan), Toh Puan Ragad dan Susan.

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merasmikan Dewan Tun Taib di Sekolah Tunku Putra (TPS) di Jalan Stadium, Petra Jaya di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut isteri beliau, Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib.

Dalam ucapannya perasmiannya, Tun Taib menyifatkan TPS sebagai pencetus perubahan dalam sistem pendidikan yang menjurus ke arah masa depan negeri ini yang semakin baik.

“Saya ingin katakan bahawa TPS merupakan sebahagian daripada revolusi dan pemikiran, mempamerkan sistem pendidikan kita di sini telah berubah ke arah masa depan yang lebih baik.

“Malah TPS menjadi penyatuan melibatkan pelbagai kaum dan latar belakang, di mana ada antara mereka (pelajar dan ibu bapa mereka) merupakan warganegara Malaysia sendiri dan warga asing yang bekerja di Sarawak,” katanya.

Tun Taib dalam ucapannya turut melahirkan perasaan gembira setiap melawat sekolah itu memandangkan sistem pendidikan telah berubah dengan peluang yang lebih besar khusus menyediakan pelajar untuk masa depan.

Tambahnya, TPS turut menuju ke arah yang betul dalam menyediakan anak-anak untuk berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik dan sukan tetapi juga menjadi warganegara yang lebih baik dan berdaya saing untuk menghadapi dunia yang berubah dengan pantas.

Sementara itu, Pengerusi TPS Datuk Syed Ahmad Alwee Aslree berkata, kemudahan baharu TPS dengan kos lebih RM6 juta itu dijangka mengukuhkan lagi pendekatan holistik sekolah berkenaan kepada pembelajaran melalui gabungan pelbagai aktiviti kokurikulum.

Menurutnya, dewan baharu itu juga membolehkan pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai bidang sukan seperti futsal, bola keranjang, bola jaring, bola baling dan bola tampar dalam kawasan sekolah dan tanpa perlu menggunakan kemudahan dari luar seperti sebelum ini.

MEMANAH: Pelajar menunjukkan kemahiran memanah.

Bukan itu sahaja jelasnya, Dewan Tun Taib menempatkan studio seni yang pastinya dapat membangunkan kreativiti pelajar melalui drama, tarian tradisional dan moden dan mengambil bahagian dalam latihan fizikal.

“Adalah diharapkan dengan dewan baharu ini TPS akan memupuk lebih ramai lagi bakat dan muncul sebagai sekolah yang diiktiraf dalam bidang sukan,” katanya.

Syed turut mendedahkan bahawa sekolah itu merancang memperkenalkan tablet sebagai alat pembelajaran baharu untuk mengubah pembelajaran dalam bilik darjah kepada pendidikan digital canggih.

Beliau percaya pelajar boleh mendapat banyak kelebihan dengan mempelajari serta mendapatkan pelbagai data berkaitan melalui dunia maklumat yang semakin berkembang hari ini.

“Bukan itu sahaja, TPS sedang melaksanakan satu sistem pengurusan maklumat dipanggil ‘Engage’ yang akan bertindak sebagai platform bersepadu bagi mengendalikan maklumat pelajar dan sekolah, semakan kad laporan, perancangan sekolah dan memperkemas proses pentadbiran,” katanya.

Katanya lagi, TPS juga telah membuat keputusan untuk memperbaiki pembelajaran utama antarabangsa dengan mengguna pakai Kurikulum Rendah Antarabangsa (IPC) yang membolehkan anak-anak memberi tumpuan kepada gabungan pembelajaran akademik, peribadi melalui kaedah antarabangsa yang lebih tersusun, praktikal dan bertema.

“Kami juga sangat bertuah kerana telah dipilih oleh World Horseback Archery Federation (WHAF) sebagai pusat sekolah pertama bagi latihan dalam seni memanah tradisional dan berkuda (Art of Traditional and Horseback Archery) di Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, Pengetua TPS Susan Holmes dalam ucapan aluannya berkata, dewan baharu itu sudah tentunya menjadi kebanggaan sekolah untuk meningkatkan bidang sukan dan pengalaman dramatik serta pembelajaran lanjutan kepada pelajar.

Dengan dewan itu jelasnya lagi, beliau berharap pelajar akan lebih bercita-cita untuk mencapai kecemerlangan bukan hanya dalam akademik malah kokurikulum dan sukan di sekolah pada peringkat negeri dan kebangsaan.

“Di TPS, kami berusaha melengkap dan menyediakan anak-anak dengan peluang semaksimum mungkin untuk berjaya dalam bidang akademik, sosial, akademik, emosi, moral, spiritual dan perkembangan fizikal yang menjadi fokus utama kami,” jelasnya.

TPS menawarkan program pembelajaran sepanjang hari dari tadika sehinggalah ke peringkat sekolah menengah dalam sukatan pelajaran Malaysia dan Cambridge.

Untuk maklumat lanjut layari www.tps.edu.my.

SELAMAT DATANG: Ketibaan Tun Taib dan Toh Puan Ragad disambut meriah.