Hanya calon terbaik terpilih ke IPGM: Muhyiddin

0

MIRI: Kerajaan kini memperketatkan lagi kelayakan dan syarat untuk kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) bagi memastikan hanya calon terbaik sahaja diterima.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, Kementerian Pendidikan mengetatkan syarat kelayakan dengan sekurang-kurangnya mendapat keputusan lima Cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dipanggil menjalani Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) dan tujuh Cemerlang untuk mengikuti Program Pelajar Cemerlang (PPC).

“Sesungguhnya kelayakan akademik masih merupakan tanda aras penting bagi menentukan calon berkualiti untuk dibawa masuk ke dalam program kursus perguruan.

“Selain itu saya juga menyarankan supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) turut mengadakan penilaian sahsiah diri melalui ujian psikometrik kepada semua graduan perguruan sebagai satu tapisan permulaan bagi proses pelantikan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan Malaysia  berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian dan jamuan malam sempena Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2015.

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan visi dan misi baharu SPP serta lagu rasmi SPP yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Bersesuaian dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Muhyiddin memberitahu, mulai sesi kemasukan tahun 2014, SPP  membuat keputusan iaitu bagi calon  mengikuti dan lulus PISMP di kampus IPGM dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) 3.5 dan ke atas serta opsyen pengajaran diperlukan oleh KPM akan dikecualikan terus daripada proses temu duga pelantikan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

Katanya hanya calon memperoleh PNGK di bawah 3.5 dan opsyen pengajaran diperlukan oleh KPM sahaja dipanggil temu duga bagi pelantikan tetap PPP.

“Ekoran keputusan ini, SPP melibatkan diri dalam proses awal pemilihan calon guru bersama pihak IPGM, KPM iaitu di peringkat UKCG.

“Gerak kerja dilaksana SPP ini pada hemat saya dapat menjayakan anjakan keempat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Prasekolah hingga Lepasan Menengah) 2013-2025.

“Diharap langkah ini dapat menarik lebih ramai pelajar cemerlang dalam akademik dan sahsiah diri untuk menyertai profesion perguruan,” katanya.

Mengenai tema persidangan kali ini, ‘Anjakan Paradigma ke Arah Profesion  Keguruan yang Dinamik’, Muhyiddin berkata ia memberi penekanan kepada usaha memperkasa profesion perguruan supaya lebih dinamik serta selari dengan kehendak semasa dan masa depan bagi mencapai agenda pendidikan negara.

“Bagi merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar serta memastikan akses dan ekuiti pendidikan berkualiti turut dinikmati di luar bandar dan pedalaman, Kementerian Pendidikan telah memastikan pengagihan peruntukan lebih saksama diberikan perhatian,” katanya.

Jelasnya, ia termasuk menyediakan guru berkualiti dan bersedia berkhidmat serta membela nasib anak luar bandar.

“Cabaran utama Kementerian Pendidikan ialah memastikan guru bersedia ditempatkan di mana-mana sekolah memerlukan terutama di kawasan luar bandar.

“Ini kerana lebih daripada 50 peratus sekolah di negara ini terletak di kawasan luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap SPP selaku pihak berkuasa melantik guru-guru, telah bersedia bersama kementeriannya untuk memastikan agenda pengambilan guru-guru baharu berkualiti dan komited sentiasa diberi fokus utama.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu yang mewakili Ketua Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun serta menteri-menteri kabinet negeri Sarawak dan Pengerusi SPP Datuk Dr Haili Dolhan.