Pendidikan agenda utama

0

Kementerian sudah rangka belanjawan pendidikan untuk dilaksana di bawah RMK11: TPM

Oleh Mastura Ismail //

NAIK TARAF: Muhyiddin (tiga kanan) mendengar masalah SMK Limbang daripada Pengetuanya Matzinan Wahid (kanan) disaksikan Awang Tengah (dua kanan), Hasbi (dua kiri) serta yang lain.

LIMBANG: Kementerian Pendidikan sudah merangka belanjawan pendidikan negara yang menjadi agenda utama Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, RMK11 menjadi penentu iaitu ‘pintu’ atau ‘tingkap’ memasuki ambang 2020.

Jelasnya, belanjawan pendidikan penting untuk dilaksana dalam tempoh tertentu khususnya menyediakan prasarana dan kemudahan pendidikan terbaik di negara ini.

“Dalam RMK11 juga, kementerian menentukan program yang direncana untuk dilaksana secara berterusan selain menerokai bidang baharu, supaya anak kita berjaya dan mendapat ilmu terbaik melalui sistem pendidikan termasuk guru terbaik untuk memberi ilmu akademik,” katanya pada Lawatan Kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang serta kenamaan lain.

Tanpa menyatakan jumlah peruntukan dipohon itu, Muhyiddin berkata RMK11 akan menentukan hasrat dalam menjadikan Malaysia negara maju mengikut acuannya sendiri.

Jelasnya, kementerian turut mengambil langkah awal dengan merencana pendidikan 10 tahun ke hadapan yang disebut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula daripada prasekolah hingga ke universiti.

“Pelan sudah siap dan dilaksanakan tahun lepas dan dalam tempoh 10 tahun ke hadapan taraf pendidikan Malaysia dapat melonjak menjadi antara terbaik di dunia  melalui pelan ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan itu menjelaskan sebanyak 600 sekolah rendah dan menengah daif di negara ini sudah dikenal pasti melalui pengauditan termasuk SK Tanjung Limbang yang berdepan hakisan tanah.

Katanya, Jabatan Pendidikan Sarawak sudah diminta menyegerakan pembinaan sekolah itu di tapak baharu yang lebih sesuai.

Mengulas mengenai SMK Limbang, Muhyiddin berkata sejumlah RM500,000 diluluskan untuk kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan sekolah berusia 53 tahun itu.

SMK Limbang merupakan sekolah ikonik dan tertua di wilayah utara Sarawak dan melahirkan ramai pemimpin politik, golongan profesional, ilmuan dan cerdik pandai.

Antara pemimpin yang lahir dari sekolah itu ialah Awang Tengah, Henry, Hasbi, Dr Rahman dan Paulus.

Selain SMK Limbang, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf bangunan Tamu Limbang.