Persiapan Sarawak cukup baik, ikut jadual

0

Pusat akuatik 70 peratus siap, venue lain hanya memerlukan penambahbaikan: Khairy

BINCANG: Khairy (dua,kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia XVIII, Sarawak 2016 buat kali pertama di Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh (dua,kanan) dan Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Persiapan Sarawak untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 cukup baik dan segala kemudahan akan siap mengikut jadual.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 24 jenis sukan (19 sukan teras dan lima sukan pilihan) akan dipertandingkan di tiga lokasi utama iaitu Kuching, Miri dan Sibu pada temasya dari 22 hingga 31 Julai tahun depan.

Jenis sukan yang akan dipertandingkan ialah akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, bola sepak, gimnastik, hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, perahu layar, sepak takraw, skuasy, taekwondo, tenpin boling dan wushu serta lima sukan pilihan iaitu bola tampar, golf, petanque, tenis dan tinju.

“Miri dan Sibu masingmasing akan menjadi tuan rumah kepada dua jenis sukan dan selebihnya berlangsung di Kuching dan kawasan di sekitarnya seperti Kota Samarahan, Petra Jaya dan sebagainya,” kata Khairy pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini semalam.

Mengenai kemudahan venue di Sarawak, beliau berkata pembinaan pusat akuatik yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri kini sudah 70 peratus siap dan lain-lain venue hanya memerlukan kerja-kerja penambahbaikan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Perak dan Johor dipilih sebagai tuan rumah SUKMA masingmasing pada 2018 dan 2020 selepas permohonan keduadua negeri itu diluluskan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

Selain mengenai aspek tuan rumah, mesyuarat tersebut juga membincangkanbeberapa pindaan dalam peraturan am SUKMA.

Antaranya ialah mahu SUKMA diadakan untuk tujuan pembangunan sukan dan juga untuk atlet-atlet pelapis.

“Sebagai contoh, untuk sukan sepak takraw sebelum ini membenarkan dua atlet kebangsaan mewakili manamana negeri.

“Memandangkan falsafah Sukan Malaysia ini untuk pembangunan dan atlet pelapis, kita bersetuju untuk temasya yang akan datang hanya seorang pemain kebangsaan sahaja dibenarkan untuk mana-mana negeri,” katanya.

Mengenai pendaftaran atlet, Khairy berkata jawatankuasa itu juga akan memperkenalkan beberapa lagi pindaan pendaftaran yang diharapkan dapat menjelaskan dengan lebih telus cara bagaimana atlet itu didaftar dengan memberi tempoh masa yang sesuai sebelum SUKMA.

“Dengan cara ini diharap tidak akan timbul lagi isu memancing atlet. Satu Mesyuarat Wakil Pendaftaran (DRM) akan bermesyuarat sebelum temasya berlangsung bagi mengelakkan negeri- negeri memancing atlet dari negeri lain atau pertindihan pendaftaran,” katanya. — Bernama