K-League iM 2015: Riaz FC, KKR Axis meneruskan kemaraan

0

KUCHING: Riaz FC dan KKR Axis meneruskan kemaraan dalam kempen K-League iM 2015 selepas mengatasi lawan masing-masing pada perlawanan minggu ketujuh di Padang C, di sini semalam.

Perlawanan berlangsung awal, Riaz mengejutkan juara bertahan, DBKU dengan kemenangan 3-2.

Riaz mendahului dengan 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Raden Mohd Faizuan pada minit ke-23 dan Madzuan Ten minit ke-46.

Mohd Hafis Mohd Yusoff meneruskan keceriaan Riaz dengan gol ketiga pada minit ke-49 untuk memastikan mereka selesa mendahului dengan 3-0.

Ketinggalan tiga gol memaksa DBKU memperbaiki corak permainan dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-60 menerusi Jasnie Suria.

Berselang tiga minit kemudian, DBKU berjaya menambah satu lagi gol hasil jaringan Azmie Kifli.

Kedudukan itu kekal hingga tamat masa perlawanan meskipun kedua-dua pasukan mempunyai deretan peluang untuk menambah jaringan selepas itu.

Riaz kini mengumpul 14 mata sekali gus memintas DBKU yang mengumpul 12 mata.

Dalam satu lagi perlawanan, Axis berpesta gol membenam Marr SC dengan jaringan 11-0.

Iqmal Mustaqkim Kamrodin dan Mohd Hafiz Abu Bakar muncul wira Axis dengan masing- masing meledakkan empat gol pada perlawanan tersebut.

Gol-gol Iqmal hadir pada minit ke-3, 28, 31, 41 sementara Hafiz atau ‘bulu’ minit ke-29, 35, 51 dan 53.

Tiga lagi gol disumbangkan oleh Mohd Rossi Jemain (11) dan Abg Mohd Saiful Abg Osman (86, 90).

Axis kini mengumpul 15 mata sementara Marr kekal tercorot tanpa sebarang kemenangan setakat ini.

Saingan diteruskan petang ini menyaksikan KSK Satok menentang pendahulu liga, FC Brooke manakala DLFC berdepan Petra Giant FC.