Kerajaan terus sokong sambutan pelbagai perayaan di Sabah: Musa

0

Buka ruang kepada rakyat berinteraksi melalui kunjung-mengunjungi

PITAS: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan akan terus menyokong dan menggalakkan sambutan pelbagai perayaan tradisi dan keagamaan oleh pelbagai etnik dan anutan agama di Sabah kerana ia salah satu lambang perpaduan rakyat negeri ini.

Musa berkata sambutan perayaan tradisi dan keagamaan yang diwarisi sejak dari dahulu di Sabah telah membuka ruang seluas-luasnya kepada rakyat pelbagai kaum dan agama untuk berinteraksi antara satu dengan lain melalui amalan kunjung mengunjungi.

“Inilah kelebihan kita. Inilah keunikan kita yang menjadi kehairanan dan kekaguman orang-orang luar terhadap rakyat di negeri Sabah. Ini akan kita teruskan, bukan sahaja di Pitas ini tetapi di seluruh Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Bengkoka dan Kaamatan Daerah Pitas di sini semalam.

Menurut Musa amalan kunjung-mengunjungi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Sabah ketika sambutan pelbagai perayaan telah membantu mewujudkan rasa kekitaan dan persaudaraan sekali gus memupuk persefahaman dan perpaduan rakyat di negeri ini.

Katanya keadaan berkenaanlah yang membolehkan rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, terus hidup dalam suasana aman, damai dan makmur.

“Namun demikian, perlu diingat bahawa suasana aman dan stabil bukanlah sesuatu yang wujud secara semula jadi (sebaliknya perlu sentiasa dipupuk),” katanya.

Justeru kata Musa mengingatkan penduduk Sabah agar terus bersama-sama dengan kerajaan untuk menjaga dan memelihara perpaduan yang terjalin erat selama ini agar ia sentiasa teguh dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Mengenai pembangunan daerah Pitas, Musa berkata setakat ini kira-kira RM113 juta sudah diluluskan kerajaan untuk pembinaan infrastruktur asas khususnya jalan raya bagi kegunaan dan keselesaan kira-kira 37,000 penduduk daerah berkenaan.

Kata Musa antara projek jalan di Pitas ialah Jalan Bongkol-Mongkobou, Jalan Pinapak-Nibang, Jalan Niatang, Jalan Mandurian dan Jalan Kg Gumpa-Kg Telaga dan ada antara infrastruktur asas berkenaan telah siap atau dalam proses pembinaan.

Mengenai pembangunan Pulau Supirak di Pitas, Musa berkata beliau akan meminta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun untuk meneliti potensi pulau berkenaan sebagai destinasi pelancongan seterusnya dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang popular di Sabah.

Musa berkata pihaknya turut mengambil maklum mengenai cadangan pembinaan loji air baharu di Pitas kerana kapasiti sedia ada cuma mampu membekalkan empat juta liter sehari (MLD) sehari berbanding keperluan sembilan MLD di daerah Pitas. — Bernama