Kes culik di Sabah, belum ada tuntutan wang tebusan

0

KUCHING: Belum ada tuntutan wang tebusan diminta berhubung kes penculikan di Sandakan, Sabah yang turut membabitkan rakyat Sarawak setakat ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, kes itu juga kemungkinan besar tidak membabitkan militan dari Filipina, Abu Sayyaf meskipun modus operandi hampir serupa.

“Mungkin ada penglibatan orang dalam yang memberi maklumat terperinci sebab penculik masuk terus menyasar mangsa, kemungkinan orang yang ada di Sabah itu sendiri terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Penjara Malaysia Zon Sarawak, di Jalan Puncak Borneo di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar, Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pengurusan) Dato Wan Abdul Rahman Abdullah dan Pengarah Ibu Pejabat Penjara Sarawak Timbalan Komisioner Abd Kadir Rais.

Dalam kejadian sekitar 7.40 malam di Restoran Ocean King, Jalan Tanah Merah di Sandakan, seorang wanita yang juga pengurus restoran berkenaan, Thien Nyuk Fun, 50, dan seorang lelaki Bernard Ghen Ted Fen, 39, yang merupakan konsultan elektronik di Kemboja, diculik.

Wan Junaidi berkata, pihak Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan terus bertindak menjejaki penculik sehingga ditemui.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bahawa negeri itu memerlukan aset seperti helikopter bagi membanteras jenayah, beliau berkata, setakat ini ESSCom bergantung kepada logistik tentera kerana proses untuk membeli sesuatu aset memakan proses panjang serta teliti.

“Bukan senang untuk membeli sesuatu aset kerana ia perlu melalui satu proses panjang, sebab itu buat sementara waktu ini polis harus bekerjasama baik dengan tentera kerana tentera mempunyai logistik lebih baik,” katanya.

ESSCom, katanya, pada masa ini lebih memerlukan sebuah ‘scanner’ atau radar menyeluruh memandangkan satelit kurang kadar kebergantungan kerana tidak berfungsi apabila terdapat awan atau hujan lebat bagi mengesan bahaya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai keperluan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis-premis perniagaan, pelancongan, Wan Junaidi berkata, setakat ini belum ada undang-undang yang mewajibkan pemasangan kemudahan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya sesebuah premis ingin memasang CCTV, mereka hendaklah memasang yang berdefinisi tinggi dalam memastikan rakaman lebih berkualiti.

“Jika hendak pasang CCTV, pastikan ia berdefinisi tinggi, ia mungkin lebih mahal, tetapi berbaloi sekiranya rakaman diperlukan,” katanya.