Pemain Finland lakar sejarah juara Kejohanan Sarawak PGM MNRB

0

KUCHING: Pemain golf dari Finland, Janne Kaske melakar sejarah sendiri setelah muncul juara Kejohanan Sarawak PGM MNRB yang berakhir di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini semalam.

Beliau mencatat 276 markah ‘gross’ untuk mengesahkan kejuaraan sekali gus membawa hadiah lumayan berjumlah RM35,000.

Janne mengumpul 72 markah pada pusingan pertama, 67 pada pusingan kedua, 72 pusingan ketiga dan 65 pada pusingan keempat.

“Ini kali pertama saya bermain di sini dan cukup gembira selepas berjaya menjuarai kejohanan ini,” kata pemain profesional itu ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Menurutnya, kemenangan itu mencerahkan peluangnya untuk menyertai Terbuka British serta melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Tempat kedua dimenangi pemain Perancis, Erwan Vieilledent selepas mengumpul 280 markah (69, 68, 71, 72).

Beliau pulang dengan wang tunai berjumlah RM23,000.

Wakil negara, Airil Rizman Zahari menjadi satu-satunya peserta yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga pemain terbaik.

Baga imanapun, Ai r i l berkongsi kedudukan tempat ketiga bersama dua lagi pemain, Masaru Takahashi (Jepun) dan Casey O’Toole (Amerika Syarikat) selepas mereka mengutip 281 markah untuk masing-masing meraih RM11,333.33.

Dalam pada itu, dua pemain Thailand berkongsi tempat keenam selepas mengutip 282 markah.

Ratchapol Jantavara dan Nirun Sae-Ueng membawa pulang RM6,800 setiap seorang.

Pengarah Profesional Golf Malaysia (PGM), Datuk Sari Suhut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi mewakili Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Beliau disertai Pengerusi Kumpulan MNRB, Sharkawi Alis, Presiden & Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MNRB Holding Berhad, Mohd Din Merican dan Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA), Hoan Kee Hock.

Menurut Sari, ini adalah kali keempat MNRB menaja kejohanan tersebut dengan nilai keseluruhan tajaan kali ini berjumlah RM350,000.

Beliau turut berpuas hati dengan mutu penganjuran kali ini yang berjalan lancar, dibantu keadaan padang yang baik di KGS.

Sementara itu, Sharkawi berkata MNRB bersedia meneruskan tajaan untuk edisi tahun depan sekiranya mendapat persetujuan daripada pihak lembaga MNRB.

Seramai 115 peserta termasuk dari luar negara menyertai kejohanan yang berlangsung dari 13 hingga 16 Mei di KGS.

Dari jumlah itu, 45 mewakili Jelajah PGM manakala 17 mewakili ADT.