Rimba Hijau FC bersedia

0

Moses optimis skuadnya bakal beri cabaran pada kempen Liga Sibu 2015

Oleh Watt Zacchaeus //

SEDIA CABAR: Moses (berdiri tengah) bersama pasukannya, Rimba Hijau FC.

SIBU: Pasukan Rimba Hijau FC bersedia memberi cabaran sengit dalam Liga Sibu 2015 yang kini sedang rancak berlangsung.

Berada di tangga keempat liga setelah mengharungi tujuh perlawanan, Rimba Hijau FC berjaya mengumpul 11 mata.

Pengurus Rimba Hijau FC, Mejar (B) Moses Ripai berkata beliau opitimis pasukannya mampu berada di tiga kelompok terbaik Liga Sibu musim ini.

“Rekod kami amat cemerlang apabila mampu menundukkan pasukan V8 dengan 2-0, Miskas 4-1, Miskal 2-1, seri dengan Didik FC 2-2 dan Nazario FC 1-1. Kelima-lima lawan kami itu adalah bukan calang-calang pasukan.

“Kami hanya tewas dua kali iaitu tunduk kepada Busana FC 4-0 dan TZ FC 1-0. Sekarang hanya tinggal dua lagi perlawanan. Kami dijadualkan bertemu Sibu Medic FC pada 23 Mei ini dan Rascom FC, 14 Jun depan.

“Sekiranya kita menang dan berjaya mengumpul enam mata, kedudukan Rimba Hijau FC mampu melonjak sekurang-kurangnya ke empat tempat teratas.

“Namun, kami menyasarkan memenangi tempat ketiga pada kempen Liga Sibu 2015 ini,” katanya ditemui di sini semalam.

Moses memberitahu, semua pemainnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal mengharungi dua baki terakhir perlawanan.

“Bagi menentang Medik FC, kami amat bersedia. Kami tidak mahu kalah ataupun seri. Mesti menang kerana sasaran adalah untuk menang pada aksi dua perlawanan terakhir liga.

“Semua pemain kita bebas kecederaan dan penggantungan serta kami bersedia memberi cabaran sengit pada dua baki terakhir perlawanan,” jelasnya.

Berdasarkan matematiknya, jurang perbezaan pendahulu liga dan pasukan tempat ketiga hanya dibezakan dengan beberapa mata sahaja dan tidak mempunyai jurang besar dari segi mata.

Justeru, Rimba Hijau FC mempunyai landasan terbaik untuk menaiki kedudukan sekurang-kurangnya di tangga ketiga liga.

Rata-rata pemain Rimba Hijau FC dibarisi pemain berusia dari 17 hingga 35 tahun dan majoritinya kaum Dayak.

“Rimba Hijau FC adalah sebuah pasukan di bawah Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Rajang. Oleh itu, hampir keseluruhan dibarisi pemain berbangsa Dayak.

“Sasaran saya membawa pasukan Rimba Hijau FC ke persada lebih tinggi untuk melahirkan pemain-pemain Dayak diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

Menurutnya, Rimba Hijau FC ditubuhkan pada 2008 dan aktif pada mana-mana pertandingan bola sepak di bahagian ini.

Jelas Moses, pasukannya turut mempunyai rekod tidak kurang hebatnya apabila tiga tahun berturut-turut kekal dalam Divisyen 1 Liga Sibu.

“Selain itu, kami juga pernah menjuarai beberapa siri kejohanan bola sepak dianjurkan di sini mahupun di luar Sibu,” katanya.

Sebagai sebuah pasukan elit, Moses mempelawa manamana belia Dayak mempunyai bakat dalam bola sepak supaya menyertai pasukannya pada tahun depan.

“Ibu bapa mempunyai anak berbakat dalam bola sepak boleh berjumpa dengan saya bila-bila masa. Saya juga bercadang mahu menubuhkan sebuah kelab ataupun pasukan bola sepak SDNU bagi menyertai manamana kejohanan bola sepak di negeri ini.

“Pada tahun depan, Rimba Hijau FC menyasarkan terpilih menyertai Liga Juara-Juara Sarawak,” tambahnya.