Skuash: Nicol bertemu Laura separuh akhir

0

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia dari Malaysia Datuk Nicol Ann David mara ke separuh akhir pada Kejohanan Terbuka British 2015 selepas menewaskan pemain tuan rumah, Sarah-Jane Perry di Airco Arena Hull, England pada Jumaat lalu.

Nicol, pilihan utama kejohanan mengambil masa 46 minit untuk memenangi perlawanan suku akhir berkenaan dengan ‘straight set’ 11-6, 11-8 dan 12-10.

“Saya rasa saya telah bermain dengan baik hari ini. Saya bertindak dengan penuh tenaga dan tepat. Sarah-Jane adalah seorang lawan yang sukar… gembira untuk mencatat kemenangan ‘straight set’.

“Pada set ketiga, saya tidak mahu mengalah dan saya benar-benar mahu mara ke separuh akhir. Jadi saya terus berjuang sepanjang perlawanan,” kata Nicol sebagaimana dipetik dalam laman web rasmi kejohanan http://allambritishopensquash.com.

Terdahulu, dalam kejohanan sama, pemain nombor tiga Malaysia, Delia membuat sekali lagi kejutan apabila menyingkirkan pemain pilihan kedua Raneem El Weleily dari Mesir dengan 4-11, 16-14, 10-12, 11-6 dan 12-10 dalam masa satu jam sembilan minit untuk mara ke separuh akhir.

Kemenangan Nicol dan Delia itu, buat pertama kalinya meletakkan dua pemain Malaysia berjaya mara ke separuh akhir Terbuka British.

“Mengagumkan dengan kemampuan Delia minggu ini. Anda tidak akan percaya bahawa sebuah negara kecil seperti Malaysia, mempunyai dua pemain berjaya mara ke separuh akhir Terbuka British.

“Beliau telah berjaya dan saya akan melihat apa yang beliau lakukan pada Sabtu (hari ini),” kata Nicol. — Bernama