Jumlah kerusi DUN mungkin kekal 71

0

Ia kekal jika tiada lakaran cadangan persempadanan semula ikut peruntukan

Oleh Rusnan Mustafa //

ASAJAYA: Kemungkinan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kekal dengan 71 kerusi, kata Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau memberitahu, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melakukan segera lakar semula cadangan persempadanan semula itu mengikut peruntukan yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Belas maka jumlah kerusi kemungkinan kekal seperti yang ada.

“Cadangan persempadanan semula kawasan DUN ini memerlukan masa di peringkat negeri dan persekutuan, sekiranya ia tidak dilakukan pada masa ini maka kemungkinan pada PRN ke-11 nanti kerusi (DUN) kekal 71 kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu selepas Majlis Kesyukuran Gereja di Kampung Sampun Tebun, Asajaya di sini semalam.

Karim yang juga ahli Majlis Tertinggi PBB berkata, namun masih terdapat masa untuk SPR melakukan lakaran semula persempadanan kawasan DUN mengikut peruntukan yang ditetapkan.

“DUN bubar pada Jun tahun depan, jadi masih terdapat waktu untuk SPR melakukannya semula,” jelasnya.

Ditanya sama ada keputusan Mahkamah Tinggi Jumaat lepas menjejaskan persiapan BN khasnya PBB dalam PRN akan datang, Karim berkata ia tidak menjejaskan persiapan bagi kerusi sedia ada.

Bagi kerusi baharu, tegasnya pihaknya sentiasa bersedia untuk membuat persiapan sekiranya ada tambahan dilakukan.

Pada Jumaat lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie dalam keputusannya mengarahkan SPR menerbitkan semula notis syor-syor yang dicadangkan untuk persempadanan semula kawasan DUN melibatkan penambahan 11 kerusi baharu.