Miri berjaya mencatat satu lagi rekod baharu

0

Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Miri sekali lagi berjaya mencipta rekod baharu dengan ‘Peserta Paling Ramai Mengambil Bahagian Dalam Reggaeton Workout’ menerusi acara Miri City Day Run 2015 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Bandar Raya Miri Ke-10 di sini semalam.

Jumlah peserta seramai 10,476 orang tersebut disaksikan oleh isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Beliau turut menandatangani sijil Malaysia Book of Records (MYBOR) sebelum diserahkan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai.

Sementara itu, acara larian yang julung kali diadakan diteruskan selepas majlis berkenaan dengan pelepasan disempurnakan oleh Jamilah pada jam 7.30 pagi.

Para peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan agama dibahagikan kepada dua acara iaitu larian yang dipertandingkan sejauh 10km dan Fun Run 5km yang tidak dipertandingkan berkumpul di Marina Parkcity seawal jam 5 pagi.

Program berkenaan turut diserikan dengan sesi memanaskan badan yang dikendalikan oleh lapan pusat kecergasan di sini terdiri daripada The One Gym Centre Sdn Bhd, Victor Aspirations, Ace Fitness Miri, Fifty5 Champion Fitness Centre, Misa Luvi Dance & Fitness Studio, Zumba Fitness Erikings, E-zy Health Fitness dan Dance Fusion.

Miri turut berjaya mencatat rekod ke-14 dalam MyBOR melalui Reggaeton Workout terbabit.

Sehubungan itu, Lawrence Lai berterima kasih kepada warga Miri termasuk pertubuhan bukan kerajaan dalam bekerjasama menjayakan program berkenaan secara langsung atau tidak langsung.

Hadir sama ialah Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, isteri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar, penaja utama Pengerusi Pantai Bayu Indah Sdn Bhd Datuk Seri Yaw Chee Siew, dif-dif kehormat dan kaunselor-kaunselor MBM.