‘Orang dalam’ disyaki dalang kes culik: Polis

0

Polis telah menerima maklumat penculikan akan berlaku, salah satu lokasi ialah Sandakan

KOTA KINABALU: Kes penculikan seorang lelaki dan seorang wanita di Restoran Ocean King di Sandakan empat hari lalu berkemungkinan besar didalangi ‘orang dalam’, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, disyaki ‘orang dalam’ telah bersekongkol untuk memberikan maklumat mengenai sasaran yang bermutu tinggi dan perkara itu sedang disiasat.

“Polis telah menerima maklumat berkenaan penculikan akan berlaku di Sabah dan salah satu lokasi itu adalah Sandakan.

“Pihak ESSCom yang diketuai oleh Datuk Abdul Rashid Harun telah membuat Operasi Bersepadu di kawasan Sandakan yang menumpukan kawasan panas dan juga pendatang asing tanpa izin. Malangnya ia berlaku di tempat yang tidak diduga,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sedang berusaha untuk mengkaji dan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan supaya kes penculikan sedemikian tidak berlaku lagi.

Jalaluddin turut mengesahkan kedua-dua keluarga mangsa menerima panggilan telefon daripada pihak yang mendakwa sebagai penculik dan meminta wang tebusan yang tinggi nilainya dan tidak boleh diberitahu kepada umum.

Katanya, sehingga kini, keluarga kedua-dua mangsa juga enggan membuat laporan polis meskipun telah dinasihatkan oleh polis supaya berbuat demikian.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya keluarga mangsa diugut berikutan keengganan mereka membuat laporan polis.

Katanya kedua-kedua mangsa culik dilaporkan dalam keadaan selamat dan kini berada di salah sebuah pulau di perairan Filipina.

Pada Khamis, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King dan menculik lelaki dan wanita itu dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.

Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang daripada mangsa culik dalam kejadian jam 7.45 malam itu. Seorang lagi mangsa ialah Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja. — Bernama