Pegawai SB diarah taip semula dokumen pintasan komunikasi

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman diarah supaya membuat salinan dokumen pintasan komunikasi terhadap suspek pencerobohan Lahad Datu.

Supt Norliah Salamat berkata beliau diarah menaip semula kandungan semua dokumen perbualan telefon yang dipintas membabitkan 10 suspek yang dijalankan unit teknikal SB.

Beliau berkata tugasan itu diserahkan kepada beliau pada 26 April 2013 oleh pegawai bertugas unit E2B SB ketika itu, SAC Yusoff Mohd Amin.

“Saya diarah untuk menaip semula dokumen produk pintasan komunikasi kerana dokumen tersebut telah diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia Besar’ dan tidak boleh didedahkan kepada sebarang pegawai,” katanya.

Norliah, saksi ke-98 pendakwaan, memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada Februari dua tahun lepas.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, pegawai SB itu berkata hanya beliau sahaja yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas membuat salinan kandungan dokumen pintasan komunikasi itu.

“Ini disebabkan oleh tahap kerahsiaan maklumat yang terkandung dalam dokumen tersebut,” jelas beliau.

Saksi itu memberitahu mahkamah, sebaik sahaja menerima arahan dan dokumen daripada Yusoff, beliau segera membawa dokumen itu ke pejabatnya untuk memulakan tugasan itu.

“Saya telah meneliti setiap perbualan dalam dokumen tersebut dan seterusnya, saya menaip semula kandungan dokumen tersebut seperti yang diarahkan,” katanya.

Norliah berkata beliau mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan tugasan itu dan beliau menyimpan salinan dokumen yang ditaipnya bersama-sama dokumen asal di dalam kabinet keluli berkunci di pejabatnya.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama