ABFSB hadapi dua perlawanan genting akhiri saingan Piala Liga Petronas 2015

0

BINTULU: Baki dua perlawanan lagi amat genting buat ABFSB jika ingin bergelar juara Piala Liga Petronas 2015 setelah mengumpul 18 mata keseluruhan dalam tujuh perlawanan yang diharunginya.

Kemenangan dalam dua perlawanan itu akan melonjakkan ABFSB selaku juara tetapi sekiranya tewas akan membuka laluan kepada Project Park dan BPJ FC yang mempunyai baki satu perlawanan untuk memintas.

Justeru, ABFSB perlu menang sekurang-kurang satu daripada dua perlawanan tersebut untuk terus bertakhta di singgahsana liga.

Dua perlawanan itu ialah bertemu GS Petronas dan BPJ FC masing-masing semalam dan 24 Mei di Padang Turf Dewan Suarah dan Stadium Mini Bintulu.

Project Park yang menduduki kedudukan kedua liga mengumpul 16 mata kini berbaki satu perlawanan untuk diharunginya dengan lawannya GS Petronas pada Sabtu, 23 Mei ini di Padang UPMKB.

Manakala di kedudukan ketiga liga ialah BPJ FC yang turut mengumpul 16 mata setelah mengharungi lapan perlawanan dengan mencatat lima kemenangan, satu seri, dua kalah serta mempunyai baki satu perlawanan lagi dengan lawannya adalah ABFSB.