Indonesia, Malaysia sedia penempatan sementara

0

Masyarakat antarabangsa lakukan proses penempatan semula, penghantaran pulang dalam setahun

PUTRAJAYA: Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan dengan menawarkan tempat perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang yang masih terkandas di laut.

Pengumuman itu terkandung dalam kenyataan bersama yang dibacakan oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah selepas bermesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Indonesia Retno Marsudi dan Jeneral Tanasak Patimapragor dari Thailand di sini semalam bagi menangani masalah kebanjiran pendatang.

Anifah berkata kedua-dua negara bersetuju untuk menyediakan tempat perlindungan sementara dengan syarat proses penempatan semula dan penghantaran pulang dijalankan dalam tempoh setahun oleh masyarakat antarabangsa.

“Pada masa yang sama, Malaysia dan Indonesia mempelawa negara-negara lain di rantau itu untuk mengambil bahagian dalam usaha ini,” katanya pada sidang media bersama-sama Retno selepas mesyuarat itu.

Tanasak, yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand tidak hadir pada sidang media itu kerana perlu menguruskan hal penting di negaranya.

Anifah berkata Thailand tidak dapat memberi komitmen untuk menyediakan penempatan sementara kepada pendatang tersebut kerana terpaksa menangani isu perundangan domestik ketika ini.

“Malaysia dan Indonesia tidak boleh menunggu lama kerana keutamaan kami ialah menyelamatkan mereka dan tidak boleh membiarkan mereka terkandas di laut.

Kami perlu menyelamatkan mereka dan buat masa sekarang, kami telah menghantar bekalan makanan kepada mereka,” katanya.

Menurut kenyataan bersama itu, pendatang berkenaan akan ditempatkan di kawasan khas yang dipersetujui oleh negara-negara yang terlibat dan ditadbir oleh pasukan petugas bersama yang ditubuhkan oleh negara-negara tersebut.

Para menteri itu dalam kenyataan bersama itu mencadangkan masyarakat antarabangsa akan bertanggungjawab menyediakan bantuan yang perlu kepada Malaysia, Indonesia dan Thailand, terutama bantuan kewangan untuk membolehkan mereka menyediakan perlindungan sementara dan bantuan kemanusiaan kepada pendatang yang kini berdepan risiko.

Kenyataan itu berkata, ketiga-tiga negara menggesa masyarakat untuk memikul tanggungjawab mereka dan segera berkongsi beban menyediakan bantuan yang diperlukan kepada Malaysia, Indonesia dan Thailand bagi menangani masalah itu.

Menurut kenyataan bersama itu, punca sebenar dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kebanjiran pendatang tanpa mengikut saluran undang-undang itu perlu segera dikenal pasti dan ditangani oleh pihak-pihak terbabit.

“Justeru, Malaysia, Indonesia dan Thailand sentiasa bersedia untuk terus membantu dan bekerjasama secara konstruktif dengan pihak-pihak berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Malaysia, Indonesia dan Thailand akan terus melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa dan selaras dengan undang-undang domestik masing-masing termasuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pendatang berkenaan.

Para menteri berkenaan juga mengutuk keras kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia dan menegaskan iltizam kerajaan mereka untuk terus mengambil tindakan sewajarnya, baik secara individu mahupun kolektif, untuk membawa pelaku jenayah kejam ini ke muka pengadilan.

Menurut kenyataan itu, agensi-agensi penguat kuasa negara-negara berkenaan akan terus berkongsi maklumat risikan dalam usaha memerangi penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Mengenai peranan ASEAN, kenyataan itu menyeru perkumpulan serantau dianggotai 10 negara itu untuk memainkan peranan aktif dalam menangani isu tersebut secara berkesan dan tepat pada masanya, mengikut semangat perpaduan ASEAN.

Menteri berkenaan seterusnya mencadangkan supaya memanggil mesyuarat tergempar Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan bagi menangani krisis itu.

Mereka mengalu-alukan inisiatif ASEAN untuk mewujudkan rangka kerja serantau bagi menangani isu pemerdagangan manusia serta memberi bantuan kepada mangsa melalui Konvensyen ASEAN mengenai Pemerdagangan Manusia, menurut kenyataan itu. — Bernama