Orang ramai dijemput meriahkan Irau Aco Lun Bawang 2015

0

KUCHING: Orang ramai dijemput berkunjung ke Lawas bagi memeriahkan Irau Aco Lun Bawang 2015 (Irau) yang akan berlangsung pada 29 hingga 31 Mei ini.

Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) Ipoi Datan berkata, pelbagai aktiviti dan program telah dirancang bagi memeriahkan pesta tiga hari itu.

Menurutnya, pesta tahunan anjuran PLBS dan disokong Kementerian Pelancongan Sarawak, Pejabat Residen Limbang serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Sarawak itu adalah kali ke-28 diadakan sejak 1987.

“Irau Aco Lun Bawang mula diadakan pada 1987 sebagai perayaan bagi masyarakat tempatan sahaja, tetapi kini ia merupakan salah satu daripada perayaan pelancongan negeri Sarawak yang diadakan pada setiap hujung bulan Mei setiap tahun.

“Pada 2014 perayaan ini diadakan di Ba’Kelalan manakala pada tahun 2015 (tahun ini) ia diadakan di Pusat Kebudayaan Lun Bawang, Jalan Beriwan, Trusan, Lawas,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Muzium Sarawak di sini, petang semalam.

Bertemakan ‘Mekail Pepua, Pupuh Megala’ dalam bahasa Lun Bawang atau ‘Saling Bekerjasama Mengharumi Masyarakat’, majlis perasmian perayaan ini akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ipoi yang juga pengarah Muzium Sarawak menambah, turut dijangka hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Penaungnya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Tujuan dan matlamat Irau adalah bagi memajukan pelancongan di Malaysia dan di Lawas khasnya dengan mempromosi pancaragam buluh dan hasil kraf tangan serta memelihara dan memajukan kebudayaan masyarakat Lun Bawang.

“Selain itu, Irau juga diharap dapat menyatupadukan masyarakat khasnya di Lawas dalam bidang ekonomi dan sosial setanding dengan masyarakat lain di negeri ini dan memberi pendedahan isu semasa (integrasi, harmoni dan kemakmuran),” jelasnya.

Tambahnya, antara aktiviti yang akan diadakan pada perayaan ini nanti ialah acara senamrobik, gotong-royong, sukan, pameran, malam kebudayaan, pelbagai pertandingan dan banyak lagi.

“Bagi pertandingan berakit, lebih 30 rakit telah mengesahkan penyertaan.

“Manakala buat julung kali diadakan juga pertandingan membuat pakaian tradisi lelaki Lun Bawang dikenali sebagai Sigar.

“Turut diadakan juga pertandingan kecantikan dan ketampanan, Ruran Ulung & Padan Liu Burung serta tidak asing lagi pertandingan ‘Bamboo Band’,” jelasnya sambil menyatakan bahawa perayaan ini bakal menarik kehadiran pelancong negeri dan negara jiran seperti Sabah, Brunei dan Kalimantan Utara.

Turut hadir pada sidang media berkenaan Setiausaha PLBS Neil Paul, Timbalan Pengerusi Persatuan Lun Bawang Cawangan Kuching Lydia Peru dan ahli jawatankuasa Irau.