Sarawak kejutkan KL pada kejohanan kriket Liga Perdana Kebangsaan

0

KUCHING: Pendatang baharu Sarawak mencipta kejutan selepas berjaya menundukkan pasukan pilihan, Kuala Lumpur dalam Kejohanan Kriket Liga Perdana Kebangsaan Tier A yang berlangsung di Kuala Lumpur kelmarin.

Selepas tewas kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan pertama Isnin, 18 Mei lalu, Sarawak turun dengan misi untuk mengutip mata penuh bagi memastikan pasukan mereka berada dalam kelompok tiga pasukan teratas.

Sarawak yang memenangi undian memilih untuk memukul terlebih dahulu pada sesi pagi dan berjaya mengumpul 270 larian dalam 50 over.

Pemukul pembukaan yang juga jurulatih bagi pasukan Sarawak, DK Ranaweera cemerlang dengan berjaya mengumpul 64 larian tanpa tewas disusuli ketua pasukan kebangsaan Ahmad Faiz yang berjaya mengumpul 91 larian sekali gus meletakkan Sarawak berada di kedudukan selesa pada sesi pagi.

Kuala Lumpur yang terpaksa mengumpul 271 larian untuk memenangi perlawanan dikejutkan dengan empat wiket awal yang berjaya diranapkan oleh pasukan Sarawak pada angka larian yang tidak mencecah 50.

Gandingan pemukul ke-4 dan ke-6 Kuala Lumpur berjaya menghidupkan semula peluang pasukan ibu kota itu selepas pemukul ke-4, HHM de Zoysa berjaya mengumpul 60 larian dan pemukul ke-6, Syed Aziz berjaya mengumpul 45 larian meletakkan pasukan Kuala Lumpur berada di kedudukan 135 larian 4 wiket dalam 35.

1 over sebelum perlawanan dihentikan akibat hujan lebat.

Ngap Sayot akhirnya diisytihar pemenang dengan kelebihan 21 larian selepas pengadil perlawanan membuat kiraan berdasarkan sistem Duckworth- Lewis (D/L).

Sarawak bakal bertemu pasukan Selangor pada 23 dan 24 Mei ini manakala pasukan Kuala Lumpur bakal berdepan pasukan dari utara tanah air, Pulau Pinang pada tarikh yang sama.

“Tahniah kepada rakan sepasukan kerana berjaya memastikan kita mengutip kemenangan pertama.

Walaupun tampil sebagai pendatang baharu, pemain kita telah mempamerkan aksi mantap dan bersedia memberikan cabaran dalam perlawanan seterusnya,” ujar Kapten Sarawak, Gordon Chung Pei Nan semalam.

“Namun, perlu diingat perjalanan masih jauh dan masih ada enam lagi perlawanan yang perlu ditempuh.

Justeru, saya menyeru kepada rakan sepasukan agar mengekalkan momentum sebegini dan menangani perlawanan satu persatu.

” Selain pasukan Sarawak dan Kuala Lumpur terdapat tiga lagi pasukan yang bertanding iaitu ATM, Selangor, Pulau Pinang.

Juara bertahan, Kedah mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada tahun ini menjadikan lima pasukan sahaja bertanding pada edisi kali ini.