GAKUM jalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia

0

KOTA KINABALU: Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan IPTA Malaysia (GAKUM) telah mengadakan jalinan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Puterajaya baru-baru ini.

Jalinan kerjasama itu bertujuan memperkasa dan memantapkan lagi hubungan GAKUM di bawah payung KPM.

Kerjasama bersama Ketua Setiausaha II KPM Dato’ Seri Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Prof Dato’ Dr Asmah berkenaan telah mengorak langkah bekerjasama dengan kumpulan pelaksana di seluruh IPTA Malaysia yang rata-rata mengharapkan satu perubahan terbaharu bagi kesejahteraan warga IPTA Malaysia.

Dalam pertemuan bersama KPM berkenaan telah dimulakan dengan Penerangan Pelan Pembangunan Tinggi Negara yang telah disampaikan oleh Prof Dato’ Asmah mengharapkan lonjakan yang berkaitan dengan pengurusan sumber manusia yang menjurus kepada kumpulan pelaksana.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Zaini Ujang itu turut menyentuh soal peningkatan taraf yang lebih global agar GAKUM membantu universiti masing-masing kepada aras yang lebih baik.

Menurut Presiden GAKUM Ku Azmi Ku Ibrahim, peluang GAKUM bertemu dengan KSU adalah pertemuan yang sangat-sangat dihargai selepas pertemuan terakhir pada bulan Mei 2013 semasa di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Isu yang hangat dibincangkan dalam pertemuan itu adalah isu kenaikan pangkat Pembantu Makmal di Universiti yang masih di Gred C17 dan belum menerima kenaikan ke Gred C27 setelah menjalankan kursus peralihan.

Ku Azmi berharap pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan dapat melihat keseriusan isu berkenaan memandangkan peranan dan tanggungjawab besar yang dipikul oleh pembantu makmal di universiti semakin besar seiring matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Turut dibincangkan isu penjanaan kewangan universiti dan staf kontrak agar kementerian dapat membantu bersama-sama memberikan penyelesaiannya.

Majlis Presiden dan Setiausaha GAKUM juga menyatakan hasrat kepada KPM agar dapat diadakan pertemuan secara berkala bersama Ketua Setiausaha KPM dan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi.

“GAKUM akan bekerjasama dengan KPM untuk mengadakan Konvensyen IPT selepas Hari Raya Aidilfitri agar sumbangan kumpulan pelaksana kepada universiti selari dengan pelan pendidikan yang telah dirangka,“ katanya.

Rombongan GAKUM turut disertai Timbalan Presiden GAKUM Zulkifli Muhamad, Setiausaha Kehormat GAKUM, Mohd Rashdan Baba dan Presiden Kesatuan Kakitangan Am UMS Amat Jutrah Musneh.