Jual rokok seludup, dua peniaga dihadap ke Mahkamah Majistret

0

KUCHING: Dua peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini untuk pendakwaan selepas didapati menjual rokok seludup di premis mereka.

Kedua-dua suspek ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di lokasi berasingan di sini Rabu lepas dalam satu operasi dikenali Ops Blitz yang dilancarkan di seluruh negara.

Dalam serbuan berasingan itu pegawai penguat kuasa JKDM turut merampas rokok seludup pelbagai jenama di dua buah kedai sini.

Menurut jurucakap JKDM, pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut di sekitar bandar raya ini di bawah Ops Blitz yang merupakan sebahagian daripada inisiatif agensi penguat kuasa itu membanteras penjualan dan pembelian rokok seludup.

“Ini adalah operasi khas menyasar ke atas kedai-kedai runcit yang menjual rokok seludup dan ia bertujuan menghapuskan rantaian bekalan dengan menyasar kawasan-kawasan panas di seluruh negara.

“JKDM komited menghapuskan penjualan dan pembelian rokok seludup dengan melancarkan serbuan lebih kerap di bawah Ops Blitz. JKDM memberi amaran keras kepada mereka yang terbabit,” katanya.