PDRM syor lesen pemborong diesel, petrol ditarik balik

0

Terlibat bekalkan bahan api ke wilayah selatan Filipina

LAHAD DATU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa pihak mberkuasa agar membatalkan lesen pemborong minyak diesel dan petrol yang membekalkan bahan api itu ke wilayah selatan Filipina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lesen tersebut perlu ditarik balik kerana bekalan minyak yang dihantar ke wilayah itu dipercayai digunakan oleh kumpulan penjenayah untuk mengancam keselamatan di pantai timur Sabah.

“Saya dimaklumkan bahawa ada syarikat tertentu yang telah diberi lesen untuk membekal minyak di sebelah sana (selatan Filipina). Oleh itu saya sangat berharap lesen syarikat berkenaan dapat ditarik balik.

“Sudah sampai masanya untuk kita membuat sekatan ekonomi dengan rakyat di selatan Filipina,” katanya pada sidang media kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pingat Kedaulatan Negara kepada 413 anggota dan pegawai polis yang bertugas semasa Ops Daulat 2013 di sini, kelmarin.

Beliau berkata cadangan pembatalan lesen pemborong diesel dan petrol itu adalah salah satu langkah yang disyorkan oleh PDRM kepada kerajaan dalam menangani ancaman kumpulan penjenayah asing di Sabah.

Dalam kejadian terbaharu pada 14 Mei lepas, sekumpulan lelaki lengkap bersenjata api menculik dua rakyat tempatan di sebuah restoran makanan laut di Sandakan.

Khalid berkata semua agensi kerajaan di pantai timur Sabah perlu menilai semula segala aktiviti yang boleh membuka ruang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Khalid meminta orang ramai berhenti menyebarkan spekulasi tentang kejadian penculikan di Sandakan.

“Kita faham tentang perasan masyarakat yang risau tentang apa yang telah berlaku itu. Tetapi kita tidak boleh mengambil kesempatan untuk membuat spekulasi dan menabur fitnah terhadap pasukan keselamatan.

“Bekerjasamalah dengan pasukan keselamatan…jangan sebarkan berita yang tidak betul sehingga boleh menambah kegusaran kepada masyarakat, khususnya di pantai timur Sabah,” katanya. — Bernama