Polis Sibu jumpa 4WD dipercayai hilang dicuri

0

SIBU: Pasukan Polis Taskforce Lejang D4 di sini  menjumpai sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan terbiar di sebuah kawasan semak samun di Jalan Kemuyang dekat sini pagi semalam.

Hasil risikan polis, sepasukan polis diketuai oleh Insp Mohd Firdaus Sapuan serta lima anggota telah melancar satu operasi ke kawasan tersebut pada jam 11.50 pagi dan menjumpai sebuah Mitsubishi Pajero berada dalam keadaan mencurigakan di situ.

Pemeriksaan lanjut pihak polis mendapati kenderaan tersebut telah dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun ini di hadapan sebuah kedai Rakyat 1Malaysia di Jalan Temple di sini.

Menurut sumber polis, kenderaan itu didapati mempunyai kesan umpil di bahagian lubang kunci sebelah pintu kanan.

Polis percaya ia adalah angkara perbuatan pencuri yang berjaya melarikan kenderaan tersebut selepas berjaya membuka lubang pintu tersebut.

Kenderaan itu kemudian terpaksa ditarik keluar dari kawasan semak ke Balai Polis Sentral untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan kereta tersebut besar kemungkinan digunakan suspek untuk melakukan jenayah sebelum ditinggalkan di situ.

Kes tersebut kini dalam siasatan lanjut pihak polis.