Saingan untuk merebut Piala Liga MuFA LSC makin rancak

0

MUKAH: Saingan untuk merebut Piala Liga MuFA LSC semakin rancak dan menghiburkan dengan 16 pasukan berentap pada perlawanan peringkat kumpulan masingmasing.

Petang kelmarin Balingian FT dan La’an United dalam Kumpulan A berentap yang mana perlawanan dimenangi oleh La’an United dengan jaringan 3-0.

Juara bertahan, Landas memulakan langkah bergaya apabila menundukkan pasukan PKSJ Fc 4-1 pada perlawanan pembukaan Liga MuFA LSC 2015 di Padang Mesra, pada hari pembukaan rebutan piala pusingan Liga Mukah di sini Sabtu lepas.

Dalam Kumpulan B, 17 Mei (Ahad) pasukan Sarawak Coal berjaya menjinakkan barisan pemain Mukah Power Genaration (MPG) dengan kemenangan 3-1 di tempat yang sama.

Pasukan dari Kelab Sukan dan Rekreasi, Kampung Tellian Tengah/Ulu, TujuNokala berjaya mencatatkan kemenangan pertama menentang Rinwood, 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, Isnin lepas.

Manakala, pasukan PSKPP Mukah dalam kumpulan D juga turut mencatat kemenangan mutlak 1-0 menentang finalis Liga Mukah 2014, Press Metal semalam.

Gol tunggal penyerang lincah PSKPP Mukah, Eswillizma Syukrillah memastikan tiga mata berharga dibawa pulang, setelah membenam cabaran getir finalis tahun lalu, Press Metal Sarawak.

Pasukan warga pendidik (PSKPP Mukah) yang menurunkan kesebelasan utama diketuai oleh Abdul Rahman dan dibantu oleh pemain terbaik Piala Kaul Mukah 2015, Abdul Muhaimin.

Saingan Kumpulan D ini dianggap ‘maut’ apabila pasukan PSKPP Mukah diundi bersama pasukan yang membariskan pemain muda dan berbakat seperti Hank Crew dan STNG Real Tugau.